Zamani Slam Dedah Hasrat Arwah Saleem Sertai Gegar Vaganza Tak Kesampaian, Datuk Hattan Pula Ralat

Hari ini, dunia industri hiburan tanah air dikejutkan dengan berita pemergian Saleem Iklim buat selamanya. Saleem disahkan meninggal dunia setelah mengalami komplikasi sejak kemalangan motorsikal.

Saleem atau nama sebenarnya, A.M Salim Abdul Majeed menghembuskan nafas terakhir di HUKM pada pagi Ahad. Penyanyi berusia 57 itu terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 21 September lalu. Kemalangan tersebut mengakibatkan tulang rusuknya patah dan dia berada dalam keadaan koma.

Rakan seangkatan dengan arwah Saleem iaitu penyanyi Zamani Slam telah mendedahkan satu hasrat Allahyarham Saleem (Iklim) yang masih tak tercapai iaitu untuk menyertai program realiti Gegar Vaganza, ianya tidak kesampaian.

Perkara itu diceritakan oleh Zamani yang pernah bercakap tentang perkara itu dengan Saleem beberapa tahun lalu.

“Kami ada berbual dan bergurau untuk masuk Gegar Vaganza beberapa tahun lalu sewaktu dia sihat.

“Saya amat terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan dia dalam keadaan sedar. Saya ada melawatnya selepas kemalangan namun dia tidak boleh bercakap.

“Allahyarham memang senang untuk memberikan kerjasama terutama ketika di studio rakaman. Suaranya memang tiada ganti”

Zamani yang kini sedang bertanding di Gegar Vaganza musim keempat, telah hadir menziarahi jenazah Allahyarham Saleem di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.

Sementara itu, seorang lagi rakan, penyanyi Datuk Hattan memberitahu beliau pernah merakamkan sebuah lagu bersama Saleem namun tidak berpeluang untuk dilancarkan.

Kata Hattan, kali terakhir mereka berkongsi pentas yang sama semasa menjayakan sebuah konsert jelajah di Sabah penghujung tahun lepas.

“Kami berdua ada merakam sebuah lagu. Tetapi ia tidak pernah dilancarkan. Kali terakhir saya berjumpa Allahyarham adalah pada bulan Disember lalu ketika sama-sama menjayakan konsert jelajah di Sabah. Saya agak ralat kerana sepatutnya saya dan isteri melawatnya dua minggu lalu namun dibatalkan saat akhir kerana perlu pulang ke kampung”

Jenazah Saleem dibawa ke Surau As-Syakirin, Bandar Mahkota Cheras dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Cheras Perdana selepas Zohor. Salam takziah buat keluarga. Al Fatihah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here