Wany Hasrita terkejut dengan Jamal Abdillah

Bintang Paling Popular, Wany Hasrita terkejut apabila penyanyi legenda tanah air yang juga Raja Pop iaitu Datuk Jamal Abdillah telah meluahkan hasratnya untuk bekerjasama dengan Wany.

Wany yang kini berumur 26 tahun memberitahu bahawa dia memang sudah lama menyimpan rasa untuk berduet dengan penyanyi bersuara emas itu.

“Saya terkejut juga bila tengok video Datuk Jamal kata dia nak bekerjsama dengan saya. Sebab dia penyanyi legend, saya sedar kedudukan saya di mana.

“Tapi tak sangka dia mahu berduet dengan saya. Dari dulu lagi, kalau orang tanya siapa penyanyi yang saya teringin berduet, saya mesti kata Datuk Jamal.

“Dari awal pembabitan saya dalam industri muzik ini, memang saya berharap sangat dapat bekerjasama dengannya”

Menerusi satu video temu bual dengan sebuah portal hiburan, Datuk Jamal Abdillah meluahkan hasrat untuk ‘melamar’ Wany Hasrita sebagai pasangan duetnya dalam sebuah lagu baru yang bakal dikeluarkan tak lama lagi.

Dalam pada itu, Wany memberitahu kerjasama itu mungkin bukan dalam masa terdekat memandangkan belum ada lagi perbincangan antara dua pihak.

Wany Hasrita yang mula popular menerusi lagu Menahan Rindu berkata dia mahu membuat persiapan dan memperbaiki kelemahan dalam nyanyiannya terlebih dahulu sebelum berganding dengan Jamal Abdillah.

“Saya tidak rasa kerjasama itu akan ada dalam masa terdekat. Mungkin tahun depan atau tahun seterusnya.

“Sebab belum ada perbincangan apa-apa antara pihak saya dan pihak dia. Tapi apa-apa pun, saya perlu buat persiapan dan perbaiki kelemahan dalam nyanyian.

“Saya perlu ada peningkatan sebelum kerjasama dengan dia. Sekarang ini, saya ada juga masuk kelas vokal dan ada perancangan untuk masuk kelas persembahan juga”

Itulah komen dari Wany Hasrita tentang rancangan berduet dengan Jamal Abdillah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here