Wan Maimunah Menangis Kena Tipu

Wan Maimunah merupakan antara pelakon yang hebat di Malaysia. Pada umur 64 tahun, Wan Maimunah telah tampil meluahkan perasaan kecewa apabila mendakwa selalu ditipu pengurus produksi selama lebih 40 tahun bekerja dalam industri seni tanah air.

Bahkan pelakon itu mendakwa, baru-baru ini pun dia masih dipermainkan sebuah syarikat produksi yang memberi kata-kata manis konon mahu menawarkan watak dalam sebuah drama namun janji tinggal janji.

“Banyak kali ibu kena tipu dan terbaharu pun ada. Dia hubungi ibu ajak shooting tapi janji tinggal janji. Dia janji nak hantar skrip tapi sampai hari ini dia tak hantar dan langsung tak cakap apa-apa. Kalau tak jadi cakap tak jadi jangan beri janji atau harapan palsu kepada artis lama macam ibu ni”

Selain itu, Wan Maimunah turut merasa terkilan dengan khabar angin mengatakan dia sakit dan tidak mahu berlakon.

“Sebenarnya ibu tak pernah cakap pun dah tak nak berlakon. Ibu masih berminat nak berlakon. Tapi kalau ada tawaran, ibu kena fikir sebab kadang-kadang mereka (production manager) tak bayar. Ibu pernah tak dibayar, bukan sekali dua, tapi dah banyak kali.

“Kalau dikumpul semua, ibu rasa sudah cecah ratus ribu ringgit. Ibu jenis suka tunggu habis ‘shooting’ drama baru minta bayaran. Mungkin sebab itu, ibu selalu kena tipu”

Bercakap tentang pandangan industri ketika ini, Wan Maimunah berkata, artis-artis lama sepertinya seperti diketepikan walaupun lakonan mereka hebat, ini bermakna bakat langsung tak dipandang.

“Mereka tak pandang kebolehan dan bakat. Bila semakin tua kita semakin terpinggir, bukan seperti artis di luar negara makin tua mereka makin dibayar dengan harga mahal.

“Ibu tak tahu nak salahkan siapa sama ada penulis skrip, penerbit atau stesen TV. Ibu dah dua tahun tidak menerima tawaran berlakon”

Kata Wan Maimunah, tawaran lakonan adalah punca rezeki anak seni sepertinya dan individu dari mana-mana syarikat penerbit janganlah sewenang-wenangnya memberikan janji palsu bukan sahaja kepada dirinya tetapi juga kepada artis-artis veteran yang lain.

Sudahlah merasa terpinggir dengan permainan industri hiburan, Wan Maimunah juga berharap Kerajaan Negeri Selangor dapat menunaikan janji untuk memberinya sebuah rumah seperti dijanjikan seorang Exco Selangor ketika menemuinya pada 31 Ogos lalu.

“Ibu minta apa dijanjikan Kerajaan Selangor untuk beri ibu rumah bukan sekadar janji tinggal janji. Besar harapan ibu agar mereka dapat beri rumah di kawasan Kuala Lumpur kerana banyak kemudahan pengangkutan.

“Ibu tak ada kenderaan sendiri dan selalu bergantung kepada rakan-rakan dalam persatuan artis veteran untuk ambil ibu sama ada ke kelas agama mahupun aktiviti bersama persatuan”

Jika diberi peluang, Wan Maimunah meminta supaya dia diberi bantuan perniagaan iaitu tapak berniaga untuk dia mencari rezeki sekiranya tiada lagi tawaran berlakon.

Untuk pengetahuan, Wan Maimunah merupakan pemenang Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama lima tahun berturut-turut pada edisi 1992 – 1996.

Wan Maimunah memang seorang pelakon yang amat menjiwai watak dan terkenal dengan watak air mata. Kehebatan Wan Maimunah dalam lakonan bukan calang-calang anak seni dari watak gelak ketawa hingga watak menangis mencurah air mata.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here