Video viral: Lelaki tampar pemandu wanita, kini diburu polis.. Ada rekod jenayah

Pihak polis kini sedang memburu lelaki yang menampar serta melempang muka seorang pemandu wanita yang membawa kereta jenis Honda Civic dalam satu kes perselisihan faham yang berlaku di Jalan Dato Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 4 petang semalam apabila lelaki yang menunggang motosikal Honda Dash datang dari arah belakang dan dilihat terus marah serta mengeluarkan kata-kata agak kasar terhadap wanita tersebut.

Video kejadian itu yang berdurasi 34 saat telah dirakam seorang pengguna jalan raya lain dan telah viral di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Noor Azmi Yusoff berkata, suspek menuduh mangsa memasuki simpang jalan tanpa memberikan lampu isyarat.

Ini komen polis tentang kes ini.

“Selepas itu, suspek kemudian membuka topi keledar dipakai dan menghentak bumbung kereta mangsa.

“Akibat tindakan itu, mangsa kemudian keluar bagi melihat kerosakan pada keretanya sebelum suspek yang memaki hamunnya bertindak menampar muka serta menumbuk kepalanya,”

Pihak polis berkata lagi, mangsa kemudian dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum membuat laporan polis serta rawatan di Hospital Ampang.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana mendatang kecederaan dengan sengaja serta kerana melakukan khianat.

Ini jelas polis tentang suspek itu lagi:

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes bahan terlarang dan khianat.

“Susulan itu, tindakan mengesan suspek kini sedang dijalankan,”

Kata pihak polis lagi, orang ramai yang ada maklumat berhubung kes berkenaan atau ada saksi, boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor R Sivanathan di talian 016-5903985 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here