TERKINI: Ustazah Sekolah Hilang.. Ini Kronologi Penuh

Seorang ustazah bernama Nur Farhana Ibrahim dari Sekolah Kebangsaan Genting, telah dikhuatiri hilang selepas tidak datang mengajar ke sekolah sedangkan keretanya berada di luar kawasan sekolah berkenaan sejak Selasa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata kehilangan Nur Farhana Ibrahim, 27, disedari suaminya selepas ustazah itu tidak pulang ke rumah mereka di Langgar, Kedah pada petang Isnin seperti kebiasaan.

Ini kenyataan Polis:

“Menurut suaminya, pada hari Isnin dia menghantar isterinya ke Tol Alor Setar Utara pukul 4.30 pagi untuk menumpang rakan ustazah itu ke Sungai Dua, Butterworth bagi mengambil kereta Perodua Axianya sebelum meneruskan perjalanan ke sekolah di Balik Pulau.

“Pada pukul lebih kurang 4.30 petang, suami mangsa yang merupakan peniaga itu menghubungi telefon bimbit isterinya, namun tidak berjawab dan apabila lelaki berkenaan pulang ke rumah mendapati telefon bimbit ustazah berkenaan berada dalam bilik tidur dipercayai tertinggal,”

Menurutnya, suami mangsa yang berusia 30 tahun itu menghubungi rakan-rakan isterinya untuk bertanya kedudukan wanita tersebut, namun mereka semua tidak tahu di mana ustazah berkenaan berada dan memaklumkan kereta isterinya berada di luar kawasan pagar sekolah.

Anbalagan berkata si suami telah pergi ke sekolah isterinya pada Selasa dan menurut guru besar sekolah berkenaan ustazah tersebut hadir ke sekolah mengajar seperti biasa pada hari Isnin, namun tidak datang ke sekolah pada Selasa.

Katanya suami mangsa telah berusaha mencari isterinya di kawasan sekitar sekolah dan berhampiran namun tidak menjumpai wanita itu.

Ini komen polis lagi:

“Beg duit, kunci kereta serta alatan menulis milik ustazah itu berada di atas meja bilik guru sekolah berkenaan. Pihak polis dengan bantuan orang ramai melancarkan operasi mencari wanita tersebut namun sehingga malam ini (Rabu) masih gagal ditemui,”

Dikatakan pihak polis juga menggunakan perkhidmatan unit pengesan anjing K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu mengesan ustazah berkenaan dan setakat ini belum menemui sebarang petunjuk.

Dari keterangan suami mangsa, Nur Farhana pernah menerima rawatan kemurungan pada tahun 2014 dan ustazah itu dipercayai mengalami kemurungan berikutan berulang alik setiap hari dari Langgar ke Balik Pulau untuk mengajar di sekolah berkenaan.

Jarak sehala perjalanan adalah kira-kira 100 kilometer dan difahamkan ustazah berkenaan telah banyak kali memohon untuk berpindah ke Kedah supaya lebih dekat dengan keluarganya namun dikatakan belum berjaya.

“Lelaki itu juga mendakwa dia dan isterinya tidak mengalami masalah rumah tangga dan mereka mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.

“Saya minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung wanita itu agar tampil menyalurkan maklumat kepada polis,”

Sumber – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here