Suspek Pukul Pekerja Stesen Minyak Mengaku Salah, Kena Denda RM2000 Sahaja

Peniaga lelaki yang menajdi viral kerana memukul seorang pekerja stesen minyak telah didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Kejadian kes puku itu menjadi viral dan tersebar di laman media sosial Facebook dalam satu kejadian di stesen minyak terletak di Sungkai.

Tertuduh bernama Muhammad Nuralif Shaufiq Ahmad Fauzi, 25 tahun akhirnya membuat pengakuan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Mohd Harith Mohd Mazlan.

Muhammad Nuralif didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Mohd Ridwan Abdullah, 24 tahun, di stesen pam minyak Petronas, Sungkai, kira-kira jam 12.45 tengah hari, 6 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Fatin Farahiyah Nadzri manakala tertuduh diwakili peguam S Kavitha. Kavitha merayu hukuman denda paling minimum dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan sudah insaf dengan perbuatan dilakukannya.

Bagaimanapun, Fatin Farahiyah memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dijatuhkan terhadap tertuduh supaya kesalahan sama tidak berulang. Mohd Harith kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2,000 dan tertuduh bakal berhadapan penjara selama lima bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Sebelum ini suspek telah ditahan pada Khamis lalu sebelum direman selama tiga hari keesokannya bagi membantu siasatan berhubung satu klip video yang viral menunjukkan aksi seorang lelaki memukul seorang pekerja stesen minyak.

Difahamkan, seorang lagi rakannya berusia 40 tahun yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Klip video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum dipukul hingga terjatuh dan dibaling objek pada jam 12.45 tengah hari, pada hari kejadian.

Menurut laporan polis punca kes pukul itu berlaku kerana seorang daripada kumpulan lelaki itu mahu isi minyak di pam bernombor enam namun tidak memaklumkan jenis minyak RON97 yang mahu diisi menyebabkan dia diberikan RON95.

Lelaki berkenaan berasa tak puas hati walaupun mangsa mendakwa sudah meminta maaf namun tidak diendahkan lalu kumpulan lelaki terbabit menarik mangsa keluar dan seorang daripada mereka memukul dan membaling air tin ke arah mangsa.

Sumber BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here