Sultanah Terengganu Mahu Saman Clare

Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah akan mengemukakan saman terhadap pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung satu dakwaan berunsurkan fitnah terhadapnya.

Ianya berkaitan dakwaan satu konspirasi membabitkan Jho Low dan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perkara berkenaan telah disahkan sendiri oleh peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay. Namun begitu beliau hanya akan mendedahkan butiran penuh tentang kes saman berkenaan pada hari Sabtu ini.

Memberi respon tentang soalan berhubung tindakan Sarawak Report yang mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak mengaitkan Sultanah Terengganu dengan kandungan buku terbitan mereka, Mohd Haaziq tegas mengatakan bahawa saman itu tetap akan diteruskan.

Ini penjelasan dari pihak peguam Sultanah Terengganu:

“Ia mengaibkan dan mereka tidak memikirkan perasaan Sultanah Nur Zahirah ketika membuat dakwaan itu. Hanya selepas pihak kami mahu memfailkan saman, mereka (Sarawak Report) mengemukakan penjelasan terhadap dakwaan itu. Mengapa ia tidak membuat pengesahan sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan? Kami tidak boleh menerima permohonan maaf ini dan tetap akan meneruskan saman itu,”

Clare didakwa membuat kenyataan memfitnah di dalam buku ‘The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose’ yang mengaitkan Sultanah Terengganu dengan Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho serta skandal 1MDB.

Setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu sebelum ini ada mengeluarkan kenyataan menafikan sekeras-kerasnya pembabitan Sultanah Nur Zahirah sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam apa-apa urusan pentadbiran kerajaan dan secara khususnya penubuhan Terengganu Investment Authority (TIA).

Buku itu didakwa menceritakan kisah di sebalik siasatan skandal 1MDB oleh Clare yang tealh mula dilancarkan pada tarikh 8 September yang lalu.

Sementara itu portal Sarawak Report hari ini menyiarkan kenyataan bahawa mereka mengesahkan kandungan di dalam buku itu tak menunjukkan bahawa Sultanah Terengganu ada konspirasi dengan Jho Low atau terbabit dalam urusan 1MDB.

Menerusi kenyataan dari Sarawak Report lagi, pihaknya mengesyaki bahawa perkara itu disalah tafsirkan kepada Sultanah Nur Zahirah oleh mereka yang mahu menimbulkan masalah.

Menurut Sarawak Report, pembacaan yang teliti boleh menjelaskan bahawa tiada dakwaan dibuat terhadap mana-mana ahli keluarga Diraja Terengganu.

“Kami meminta maaf terhadap Sultanah jika Sultanah kecewa dengan salah tafsiran maksud (kandungan buku itu) dan percaya dengan penjelasan ini berhubung perkara itu,”

Hari Sabtu ini satu kenyataan akan dibuat oleh pihak peguam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here