Suami isteri didakwa atas tuduhan membunuh anak 5 tahun, hukuman mati jika bersalah

Sepasang suami isteri telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Johor Bahru pada hari ini atas pertuduhan membunuh anak lelaki mereka, Disember tahun lalu.

Mohd Wirah Mohd Yakub, 33 tahun dan isteri Nur Aqma Rosli, 22 tahun dituduh bersama-sama dengan niat membunuh Mohd Dizhwar Dzaky Abdullah, 5 tahun di sebuah rumah di Taman Sentosa di johor Bahru, antara 11 pagi dan 10.26 malam, 25 Dis yang lalu.

Untuk pengetahuan, Mohd Wirah yang bekerja sebagai tukang masak merupakan bapa kandung kepada mangsa dan Nur Aqma merupakan ibu tiri mangsa rakyat Indonesia.

HUKUMAN MATI JIKA SALAH

Kedua mereka telah dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Ketika mendengar kes, dua-dua mereka dilihat hanya mengangguk tanda memahami pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abd Jalil Salam Muhamad manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 17 Feb 2019 untuk sebutan semula bagi menunggu laporan bedah siasat dan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA).

SEORANG LAGI ANAK JUGA KENA DERA

Sementara itu, wanita berkenaan iaitu Nur Aqma turut berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen.

Kali ini wanita ini didakwa atas pertuduhan penganiayaan ke atas seorang lagi anak lelaki tirinya, Mohammad Dayyan Daffa Mohd Wirah, 4 tahun dengan menyebabkan kecederaan fizikal.

Namun begitu, Nur Aqma mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang didakwa dilakukan di rumah mereka antara Jun dan 25 Dis lepas, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Nur Aqma didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan untuk kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaili Sapun manakala tertuduh diwakili peguam R.Subash.

Mahkamah telah menetapkan tarikh 11 Feb 2019 sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.

Sumber: AWANI

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here