Nor Ashfarina Mahamed Ismail, kakak kepada chef selebriti, Mohamad Adam Ismail atau Chef Adamdidam, telah memberi komen tentang keadaan anaknya Fatimah selepas ketiadaan chef Adam.
Fatimah adalah anak saudara kepada chef Adam dan popular di laman sosial Instagram dengan aksi comel bercakap dialek Kelantan biarpun membesar dan menetap di United Kingdom (UK).
Nor Ashfarina, berkata Fatimah adalah antara lapan anak saudara yang sangat rapat dengan arwah adiknya malah hampir setiap hari mereka akan saling berhubung melalui telefon ataupun panggilan video.
Ini komen kakak arwah chef Adam:
“Fatimah sempat bercakap dengan arwah Adam yang dipanggil Mamaji sebelum meninggal,”
“Fatimah sempat bercakap dengan Mamaji kesayangannya sebelum Adam menghembus nafas terakhir jam 4 pagi tadi.
“Kami terpaksa memberitahu perkara sebenar kepada Fatimah melalui telefon kerana dia masih di UK, dan kami dimaklumkan bahawa Fatimah sangat sedih dengan kehilangan Adam.
“Mereka boleh dikatakan berhubung hampir 24 jam semata-mata untuk bertanya khabar dan berkongsi cerita masing-masing, malah arwah Adam tidak pernah jemu melayan Fatimah,”.
Nor Ashfarina berkata, Fatimah dan keluarganya mungkin akan pulang daripada UK, namun belum dipastikan masanya.
“Sudah pasti Fatimah terkejut dengan apa yang terjadi namun kami akan cuba menerangkan kepadanya sebaik mungkin memandangkan dia masih kecil.
“Bukan saja Fatimah, namun anak saudara yang lain turut bersedih dengan kehilangan Mamaji. Ini satu kehilangan besar buat mereka.
“Sebagai kakak, saya reda dengan pemergian Adam dan berharap agar mereka yang mengenali Adam dapat berdoa semoga adik bongsu saya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,”
Chef Adamidam meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan kuman di paru-paru di kediaman keluarganya di Telipot.
Jenazah Adam telah disembahyangkan oleh 150 jemaah termasuk ahli keluarga dan rakan-rakan di Masjid Telipot, dan selamat dikebumikan pada jam 11.05 pagi tadi.
Sumber: Berita Harian