Saya tidak akan benarkan keluarga wakili saya, ia salah! – Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akhirnya bersuara tentang isu abangnya, Syed Abdullah yang dilayan bagaikan tetamu khas pada Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA peringkat kebangsaan di Central i-City, Shah Alam, Sabtu lepas.

Syed Saddiq berkata, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan pihak penganjur iaitu Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) telah pun tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan itu.

Menteri ini telah menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan mana-mana ahli keluarganya untuk mewakili beliau pada mana-mana majlis rasmi.

Ini komen Syed Saddiq:

“Ia (dakwaan) adalah amat salah kerana ia tidak benar. ESM telah pun mengeluarkan kenyataan untuk memperbetulkannya.

“Dia datang tak dijemput, tetapi bila dikenali diajak ke depan. Tak perlu pun sebarang layanan istimewa,”

“Saya tidak akan membenarkan keluarga saya mewakili saya. Ia adalah salah!”

Pada hari Sabtu yang lepas, kekecohan telah timbul apabila Syed Abdullah, abang kepada Syed Saddiq dilihat mendapat layanan VIP dan duduk sebaris dengan tetamu kehormat menyebabkan timbul spekulasi bahawa dia menggantikan adiknya yang tidak dapat hadir pada majlis tersebut.

Bagaimanapun, pihak penganjur iaitu ESM telah tampil memberi penjelasan bahawa kehadiran Syed Abdullah adalah atas kapasiti peribadi.

Ini penjelasan ESM:

“Persatuan ini memandang serius mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh masyarakat berhubung kehadiran Syed Abdullah dan mempertikaikan layanan yang diberikan oleh kami selaku penganjur ke atas abang Menteri Belia dan Sukan itu.

“Setelah penelitian semula dibuat, beliau (Syed Abdullah) tidak dijemput dan kehadiran beliau pada program tersebut bukanlah mewakili menteri ataupun Kementerian Belia dan Sukan.

“Namun kehadiran beliau adalah di atas kapasiti peribadi sebagai peminat dan penyokong kepada pembangunan industri sukan elektronik,”

Isu berkenaan mula timbul apabila pihak penganjur, ESM memuat naik posting bergambar di laman Facebooknya, Esports Malaysia selepas majlis berlangsung, petang Sabtu.

Dari post berkenaan, Syed Abdullah dilihat bergambar bersama Presiden ESM Datuk Ananth S. Nathan bersama barisan tetamu VIP yang lain.

Sumber: mStar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here