“Saya berdepan penyakit ini sejak dua bulan lalu” – Hael Husaini kena kecam berat naik 10kg

Hael Husaini mengaku berat badannya naik 10 kilogram (kg) akibat ubat yang diambil sejak sebulan lalu keranaa ada terkena penyakit yang sukar untuk dijelaskannya.

Penyanyi dan komposer popular ini berkata dia sudah pun merujuk kepada doktor untuk mencari penawar saintifik terhadap masalah yang dialaminya itu.

Ini jelasnya tentang keadaannya:

“Saya berdepan dengan penyakit ini sejak dua bulan lalu. Saya cuba kuat kerana jadual kerja yang padat. Akibat kurang rehat, penyakit ini bertambah mudarat.

“Selain mengambil antibiotik mengikut dos ditetapkan, steroid membuatkan berat badan saya naik mendadak.

“Tidak cukup itu, saya dikecam dan dilemparkan kata-kata negatif di media sosial mengenai pertambahan berat badan ini,”

Hael Husaini berkata lagi, sebenarnya dia bukan sengaja tak mahu berkongsi mengenai penyakit yang dihidapinya.

“Saya tak mahu menjadikan penyakit itu sebagai alasan atas semua ini. Sukar untuk saya jelaskan lebih lanjut mengenai kesihatan diri,”

Tambah Hael Husaini lagi, penyakit yang dihadapinya itu dilihat datang dan pergi mengikut situasi. Ada pihak turut mencadangkan dia mendapatkan rawatan alternatif bagi mengatasinya.

“Sebenarnya, saya kurang percaya perkara ini dan memilih untuk menggunakan kaedah saintifik terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, buat masa ini, saya sudah sihat dan boleh kembali fokus kepada kerjaya.

“Jika keadaan kesihatan kurang memberangsangkan, apabila tiba masanya nanti, saya akan mendapatkan nasihat mereka yang arif berhubung perkara ini,”

Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan karier seninya, Hael Husaini berkata dia bakal melancarkan video muzik lagu raya berjudul Bersyukur Seadanya, pada hari Jumaat ini.

Malam tadi, Hael menghadiri majlis berbuka puasa eksklusif bersama Dayang Nurfaizah di sebuah premis acara, di Shah Alam.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here