Vokalis kumpulan terkenal Iklim iaitu Saleem disahkan telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya pada Khamis (semalam). Dari laporan, kemalangan berlaku apabila motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah kereta dari arah belakang. Ketika kejadian, Saleem keluar dari rumah menaiki motorsikal untuk membeli barang.
Isterinya, Julia Bachok mengesahkan suaminya ditimpa kemalangan dan memberitahu kejadian itu berlaku berdekatan rumah mereka di Bandar Mahkota Cheras. Julia menyatakan bahawa Saleem telah dibawa ke Hospital Kajang untuk mendapatkan rawatan.
Ini komen isteri Saleem:
“Ketika kejadian saya tidak berada di rumah kerana sedang membeli baju untuknya pakai di majlis bertemu peminat sebelah malam di Shah Alam. Dia ada beritahu hendak keluar sebentar beli barang dan tidak sangka pula Saleem kemalangan. Panik saya dibuatnya apabila ada orang beritahu suami kemalangan dan segera saya bergegas ke hospital”
Julia berkata demikian sebagai mengesahkan khabar angin mengatakan Saleem kemalangan jalan raya di laman sosial. Menerusi status yang tersebar itu, Saleem dikatakan berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang selain mengalami kecederaan kerana kemalangan itu.
Maklumat tersebar itu mendakwa impak kemalangan berkenaan menyebabkan tulang rusuk penyanyi lagu Suci Dalam Debu itu tersusuk ke bahagian paru-parunya.
Dalam pada itu, ditanya mengenai keadaan sebenar Saleem, Julia berkata, suaminya berada dalam keadaan stabil namun dia enggan mengulas lanjut mengenainya. Kata Julia lagi, pihak keluarga sedang dalam proses memindahkan Saleem ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Ini komennya:
“Apa yang boleh saya katakan sekarang keadaan Saleem stabil. Tentang apa yang ditularkan mengenai keadaan suami, saya enggan mengulas. Bukan saya tidak mahu beritahu tapi tidak mahu kalau cerita orang ingat saya ingin minta simpati tetapi Saleem stabil dan tidaklah seteruk yang diberitahu. Pinta saya agar semua peminat mendoakan agar Saleem segera sembuh dan apa yang berlaku ini adalah ujian Allah,”
Semoga Saleem kemabli sihat dan pulih sepenuhnya. Sama-sama kita doakan. Amin.