Punca Sultan Selangor gantung darjah kebesaran “Dato Seri” terhadap Najib Razak, Rosmah Mansur

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengantung gelaran dan penggunaan darjah kebesaran yang dikurniakan kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor.

Perkara ini disahkan oleh wakil pihak Istana negeri Selangor. Katanya Istana Selangor telah menggantung sementara gelaran Datuk Seri dan Datuk yang dikurniakan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masing-masing pada 2004 dan 1992 berkuatkuasa Isnin yang lalu.

Perintah sama turut dikenakan terhadap isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang dikurniakan gelaran Datin Paduka Seri pada 2005.

Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya dalam satu kenyataan rasmi Istana Selangor berkata keputusan itu dibuat kerana Najib telah didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan kes rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang haram.

Ini kenyataannya:

“Maka dengan ini, keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada 2004 dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada 1992 digantung berkuatkuasa 6 Mei 2019 sehingga kes perbicaraan dan rayuan (jika ada) yang melibatkan beliau selesai di mahkamah,”

Dalam pada itu, darjah kebesaran Rosmah pula digantung disebabkan beberapa pertuduhan kes rasuah, penggubahan wang haram dan kes Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang dikaitkan dengan beliau.

“Maka dengan ini keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran S.P.M.S adalah digantung berkuatkuasa 6 Mei 2019 sehingga kes perbicaraan dan rayuan (jika ada) yang melibatkan beliau selesai di mahkamah,”

Jelas Mohd Ahmad, penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran yang dikurniakan terhadap Najib dan Rosmah akan disemak semula setelah kes dimuktamadkan di mahkamah.

“Penggantungan ini selaras dengan kuasa Baginda di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Statut Darjah Kebesaran yang berakitan dan kovensi diamalkan di Negeri Selangor,”

Sumber: Sinar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here