Polis Berjaya Tahan Suspek Pukul Pekerja Stesen Minyak

Polis telah berjaya menahan dua lelaki yang menjadi suspek kes pukul pekerja stesen minyak. Kes ini menjadi viral apabila aksi mereka dirakam memukul dan membaling objek kepada seorang pekerja stesen minyak Petronas di Sungkai beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail memberitahu bahawa akhirnya kedua-dua lelaki di dalam video itu telah berjaya ditahan. Kata polis, mereka ditahan di dua lokasi berasingan.

“Suspek pertama adalah seorang lelaki berusia 40 tahun yang ditahan di kediamannya di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, pada jam 9.45 malam semalam.

“Seorang lagi suspek adalah lelaki berusia 25 tahun dan ditahan di perkarangan IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Tapah ketika menyerah diri pada 4.15 petang hari ini,”

Polis memberitahu suspek pertama direman selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini untuk siasatan lanjut, manakala polis akan mendapatkan perintah reman untuk suspek kedua di Mahkamah Majistret Tapah.

Kes ini telah disiasat oleh polis mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, namun diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 147 Kanun kerana merusuh.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV ) menunjukkan mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum dipukul hingga terjatuh dan dibaling objek pada jam 12.45 tengah hari, pada hari kejadian.

Difahamkan, seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan mahu mengisi minyak di pam bernombor enam namun tidak memaklumkan jenis minyak RON97 yang mahu diisi menyebabkan dia diberikan RON95.

Lelaki berkenaan dipercayai tidak berpuas hati walaupun mangsa mendakwa sudah meminta maaf. Namun mungkin kerana ada mengeluarkan kata yang agak kesat, sekumpulan lelaki ini dilihat berang dan kemudian menarik mangsa keluar dan seorang daripada mereka memukul dan membaling air tin ke arah mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis mendakwa mengalami kesakitan di beberapa anggota badannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here