Pencarian Mr Cute Sabah 2018 telah menjadi viral dan telah menerima publisiti yang amat meluas secara tiba-tiba. Walaubagaimanapun, publisiti ini tidak seperti yang diharapkan.
Ia kerana para peserta MR Cute Sabah telah menerima kecaman melampau segelintir netizen di negara ini yang secara terbuka membuat penghinaan terhadap rupa paras dan fikizal finalis pertandingan itu menerusi laman sosial Facebook.
KOMEN PESERTA
Menurut salah seorang peserta, Walter Milter, dia dan barisan peserta lain pada mulanya terkejut apabila menerima maklum balas negatif itu sekitar minggu lalu.
“Bila nampak gambar-gambar kami ditularkan serta dikecam, mestilah terkejut. Tapi saya tidak melatah dengan perkara itu. Bagi saya, tak perlu respon pun. Mereka tak kenal saya, saya pun tak kenal mereka. Mereka hakimi berdasarkan sekeping gambar sahaja, jadi tak ada sebab untuk saya balas”
Walter yang juga seorang guru berkata komen-komen tersebut sebagai tidak wajar dan menganggap netizen tidak memahami objektif sebenar pertandingan itu.
Menurut Walter, memang boleh untuk bebas bersuara namun ia perlu digunakan sebaiknya tanpa melampaui batas. Katanya lagi, reaksi netizen dalam menghamburkan komen-komen negatif di laman sosial sebagai satu perlakuan yang tidak sihat.
“Sebelum ia tular di seluruh Malaysia, ia mula diperkatakan di Sabah dahulu. Tapi tak adalah semua menghina, ada juga yang memberi sokongan dan kata-kata yang positif. Tapi ada sebilangan pengguna media sosial yang samakan rupa kami dengan haiwan, itu pada saya tidak wajar. Mungkin mereka tidak tahu objektif pertandingan ini. Ia bukan melihat kepada paras rupa semata-mata tetapi lebih dari itu”
PENGURUS BUAT LAPORAN POLIS
Pengurus acara bagi pertandingan tersebut iaitu Benn Shah memberitahu dia sudah pun membuat laporan polis berhubung kes tersebut.
Katanya, pihak penganjur membuat laporan ke atas beberapa individu yang membuat kenyataan berniat jahat seperti menyamakan acara tersebut seperti sampah, dakwaan mengaut keuntungan dengan harga tiket serta menghina pemakaian rantai tradisi salah seorang peserta.
Acara final Mr Cute 2018 akan berlangsung pada 10 November bertempat di Grand Ballroom, The Klagan Regency 1Borneo, Sabah. para peserta akan bersaing di pentas akhir pada 10 Oktober depan. Pertandingan ini turut menyaksikan penglibatan 20 peserta, 18 orang dari Sabah manakala dua lagi dari Sarawak. Malah, ia turut menampilkan seorang peserta Orang Kelainan Upaya (OKU), Scholadtica Samudin yang berusia 23 tahun.