Ahli perniagaan Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad, sebenarnya sempat menulis pesanan semua anaknya seminggu sebelum dijemput Ilahi.
Pengasas produk Dnars skincare itu mengingatkan anak-anaknya supaya sentiasa mengamalkan kasih sayang dalam keluarga.
Allahyarham turut menasihatkan lapan anaknya supaya mencontohi didikan arwah bapanya dalam menjalinkan hubungan kasih sayang di dalam keluarga.
“Saya selalu pesan pada semua anak-anak. Jagalah kasih sayang. Bila jaga hubungan kasih sayang dengan adik beradik dan keluarga, sampai akhir hayat hidup akan bahagia,”
“Contohi mummy tujuh beradik. Abah kami berjaya didik kami dengan hubungan kasih sayang,”
Dalam perkongsian berasingan, arwah turut mendedahkan kesemua lapan anaknya terdiri daripada empat anak kandung dan empat anak tiri, hasil perkahwinannya terdahulu dan suaminya, Ahmad Shah Rizal Ibrahim.
“Ramai yang DM (mesej secara langsung) tanya kenapa muka lain-lain? Anak siapa ni? Ya, ini semua anak-anak saya, semua lapan orang. Anak saya empat orang dan anak tiri empat orang.
“Tapi dah lapan tahun kami tinggal bersama, sebumbung setiap hari selama lapan tahun dan mereka berlapan semua tidak pernah berpisah sesama mereka dan juga dengan kami suami isteri walaupun satu malam, kecuali hari yang kami outstation (di luar kawasan),”
Menurut arwah Faziani, kesemua anak-anaknya di bawah didikan dan jagaannya bersama suami dan beliau menganggap dirinya sebagai ibu kandung kepada anak-anak tirinya.
“Begitu juga dengan anak-anak saya. Suami saya adalah umpama papa kandung mereka bukan lagi papa tiri. Semua suami yang uruskan dan anak-anak lebih rapat dengan kami berdua,”
Tambah Faziani, anak-anaknya tidak pernah bergaduh meskipun berlainan ibu dan bapa kerana sejak kecil dididik untuk saling sayang-menyayangi.
“Rahsia mereka tak bergaduh? Saya sendiri tiada jawapan yang tepat. Semua ketentuan Allah SWT. Yang penting adalah keikhlasan hati.
“Pada kami suami isteri didikan dan kasih sayang yang adalah resepi kebahagian kami. Doa saya sampai akhir hayat kami tetap bersatu dan tiada siapa boleh pisahkan kami kecuali takdir Allah,”
Dalam pada itu, Allahyarham turut berkongsi luahannya mengenai perasaan rindu yang menebal terhadap arwah bapanya terutama setiap kali menjelang Ramadan.
“Rindu arwah Abah… kerinduan yang sangat sakit. Setiap kali puasa terbayang arwah Abah depan mata. Sakitnya hanya Allah SWT yang tahu.
“Rindu tiada ubat hanya Al-Fatihah pengubat kerinduan ini. Hargai, sayangi dan luangkan masa dengan ibu bapa ketika dia masih ada,”
Sumber: mStar