Peguam syarikat rupanya dalang, bayar RM150 ribu pada “satu kumpulan” untuk ceroboh kuil

Hari ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat satu sidang media tentang isu rusuhan kuil. Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendedahkan dalang disebalik rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 pada 26 November lalu adalah didakwa dilakukan oleh pihak peguam pemaju, One City Development Sdn Bhd.

Di sidang media berkenaan, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, siasatan polis mendapati peguam syarikat pemaju telah mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil berkenaan untuk menuntut kawasan berkenaan.

Katanya, peguam syarikat pemaju itu juga menyerahkan RM150,000 telah diserahkan kepada ketua kumpulan berkenaan untuk tugas tersebut.

Ini komen Tan Sri Muhyiddin Yassin:

“Peguam upah orang Melayu untuk ambil alih kuil”

“Seramai lebih kurang 50 orang telah diupah untuk melakukan kerja ini di mana setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 dan RM300. Kumpulan ini mendapat duit daripada peguam syarikat”

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dua peguam itu antara 21 lelaki yang ditahan susulan kejadian tersebut.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, tindakan peguam itu diambil susulan pihak pemaju, One City Development mahu mendapatkan semula hak mereka iaitu tanah kuil tersebut, seperti keputusan penghakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Mac 2014.

Katanya, melalui rekod penghakimam itu, persetujuan bahawa kuil tersebut dipindahkan ke lokasi baharu yang akan disediakan oleh pihak pemaju dan tapak asal kuil diserahkan kepada pemaju yang merupakan pemilik tanah.

Namun katanya, penghakiman persetujuan ini tidak dapat dilaksanakan kerana berdasarkan siasatan polis terdapat dua pihak penganut Hindu di mana satu pihak membantah manakala satu lagi bersetuju.

Katanya, beberapa cubaan dibuat pihak pemaju untuk mengambil alih tapak itu tetapi gagal disebabkan bantahan kumpulan itu dan kekecohan yang berlaku di tapak kuil.

Kemuncaknya, sekali lagi pemaju merancang untuk mengambil alih tapak kuil yang dijadualkan bermula jam 7 pagi pada Isnin lalu.

“Perbincangan antara pemaju dan ahli jawatan kuasa kuil dilakukan, pihak polis dimaklumkan mengenai rancangan ini dan bersedia untuk mengawal ketenteraman di sekitar kawasan kuil tersebut”

Bagaimanapun menurut Muhyiddin, pihak yang dikaitkan dengan pemaju tidak mematuhi proses pengambil alihan tapak kuil seperti mana yang dirancang mengikut peruntukan undang-undang.

“Siasatan polis dapati peguam syarikat pemaju mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh kuil tersebut dan mengawal kawasan kuil sebelum ketibaan polis dan pemaju pada pagi 26 November.

“Peguam telah mengambil orang Melayu nak kawal kuil. Jadi saudara boleh faham bagaimana perasaan mereka yang terlibat. Bagaimanapun ini bukan isu perkauman. Ini isu persengketaan berkaitan tanah kuil antara pemaju dengan jawatankuasa kuil,” katanya.

“Andaian kita adalah kerana dia peguam One City dan dia diberikan peruntukan. Saya tidak fikir peguam bermurah hati untuk bagi duit pada orang ini (kumpulan penceroboh).

“Tentu ada kaitan dengan sumbangan daripada syarikat untuk menyelesaikan masalah dia. Itu tujuannya tetapi langkah yang diambil oleh peguam menyalahi undang-undang”

Tambahnya lagi, beliau kesal dengan apa yang berlaku kerana tindakan yang diambil oleh peguam itu menyebabkan tercetusnya kemarahan penganut agama Hindu yang berada di kawasan kejadian sehingga menimbulkan kekecohan, pergaduhan dan kerosakan harta benda.

“Sekiranya tindakan gopoh dan cuai ini tidak diambil, saya percaya insiden pergaduhan antara kumpulan lelaki Melayu dan penganut agama Hindu di kuil itu tidak akan berlaku”

Ini video sidang media berkenaan:

((Live))Sidang Media YB Tan Sri Muhyiddin Yassin Menteri Dalam Negeri

Posted by Muhyiddin Yassin on Tuesday, 27 November 2018

Beliau turut mengarahkan polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berhubung insiden ini termasuk mereka yang membuat kenyataan berbaur perkauman, bersifat provokatif, menyebarkan berita palsu serta yang menganjurkan perhimpunan untuk membakar sentimen kaum.

Katanya, siasatan itu juga termasuk rusuhan pada hari kedua sehingga menyebabkan kerosakan harta awam dan melibatkan kecederaan serius seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Sumber: Sinar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here