Pak guard fail permohonan rayuan agar hukuman Lan Pet Pet dinaikkan

Pak guard atau pengawal keselamatan, Yahya Manap yang dipukul oleh pelawak Lan Pet Pet telah membuat satu permohonan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Ini apabila yahya yang lebih dikenali dengan nama Pak Ya failkan permohonan merayu agar hukuman yang diterima pelakon itu dinaikkan lagi.

Peguam yang mewakili Yahya atau dikenali sebagai Pak Ya, Ahmad Ishrakh Saad memberitahu kepada portal Bernama pada Khamis bahawa permohonan itu telah dikemukakan pihaknya kepada Pejabat Peguam Negara pada 6 petang, Rabu.

Katanya permohonan itu dibuat selepas anak guamnya tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret di Seremban yang mengenakan denda RM2,000 terhadap Lan pet Pet atau nama sebenarnya Mazlan Ahmad, pada hari Isnin lepas.

Ini komen Pak Ya:

“Anak guam saya mengalami kecederaan yang agak teruk dan amat terkilan dengan keputusan berkenaan. Kami berasa amat terkilan dengan hukuman yang dikenakan ke atas OKT tersebut memandangkan ianya adalah terlalu ringan dan tidak setimpal dengan faktor pemberatan yang wujud dalam kes ini.

“Kami memohon Timbalan Pendakwa Raya dan Custodian of Public Interest mempertimbangkan untuk memfailkan Notis Rayuan terhadap hukuman tersebut ke Mahkamah Tinggi Seremban supaya hukuman dapat ditambah,”

Pada 15 April lepas, Lan Pet Pet telah didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini setelah mengaku bersalah mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kawasan perumahan di Nilai, Negeri Sembilan.

Majistret Mayon Yusof telah mengenakan denda berkenaan selepas pelakon itu mengaku bersalah melakukan perbuatan itu pada 6 April lepas.

Dia didakwa memukul dan menumbuk Pak Ya kira-kira pukul 8 malam, dalam satu insiden di Acacia Park Desa Jati, Nilai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mas Syafiqh Mahroob.

Sumber-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here