Munafik 2 Terus Catat Sejarah!! Raih RM40 Juta

Filem bergenre seram, Munafik 2 berjaya mencatat sejarah apabila memecahkan rekod sebagai filem Melayu paling tinggi kutipan iaitu sebanyak RM40 juta dalam tempoh 17 hari ditayangkan.

Munafik 2 hasil arahan dan lakonan Syamsul Yusof telah berjaya mengatasi filem arahan Mamat Khalid berjudul Hantu Kak Limah (HKL) yang mengutip RM35 juta bulan lepas.

Syamsul Yusof mengumumkan perkara itu dan mengucapkan syukur serta berterima kasih kepada penonton yang memberi sokongan kepada filem berkenaan.

Ini antara komen Syamsul yusof:

“Mencecah kutipan Rm 40 juta hanya dalam 17 hari tayangan. Suatu fenomena luar biasa sinema Malaysia. Bukan mudah untuk filem Melayu capai ke tahap ini. Tsunami filem Melayu. Alhamdulillah dan terima kasih. Majulah industri filem Malaysia”

Sebelum ini Munafik 2 mencipta rekod tersendiri apabila mencapai kutipan membanggakan untuk tayangan awal di pawagam pada 29 Ogos lalu. Ia sekaligus menjadikan filem tempatan yang menerima kutipan tertinggi untuk tayangan awal iaitu sebanyak RM2.05 juta.

Penerbit Skop Production iaitu Datuk Yusof Haslam berkata, jumlah kutipan RM40 juta itu merangkumi tayangan di Malaysia, dan juga negara jiran iaitu Brunei dan Singapura.

Filem ke-10 arahan Syamsul itu turut dibintangi beberapa barisan pelakon popular seperti Maya Karin, Nasir Bilal Khan, Mawi, Datuk Fizz Fairuz, Datuk Rahim Razali dan Fauzi Nawawi.

Untuk rekod, filem Munafik pertama yang ditayangkan pada tahun 2016 telah berjaya meraih kutipan keseluruhan sebanyak RM17 juta. Filem Munafik 2 terbitan Skop Productions dan President Productions ini menelan kos perbelanjaaan sebanyak RM2.9 juta. TAHNIAH Diucapkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here