“Mufti Perlis berniat baik tapi kenyataannya mengelirukan” – Dr Mujahid

0
1202

Kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin tentang kedudukan Islam dikatakan terancam ketika berada di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) telah dilabel oleh Menteri Dr Mujahid sebagai satu komen yang berniat baik akan tetapi ia mengelirukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau yakin status Facebook Dr Mohd Asri yang ingin mendapatkan pandangan orang ramai berhubung isu berkenaan mungkin untuk menilai prestasi kerajaan baru selama setahun ini.

Ini komen Dr Mujahid:

“Namun, sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, kenyataan itu (kenyataan Dr Mohd Asri) bagi saya agak mengelirukan.

“Persoalan asas adalah berkisar tentang isu laporan polis daripada orang awam terhadap saudara Zamri Vinoth yang dikatakan ‘menghina’ agama hindu.

“Adakah hanya dengan satu peristiwa ini menyebabkan satu hukum umum dirumuskan seperti menyatakan Islam terancam di bawah PH? Bukankah saudara Zamri Vinoth ditahan untuk membantu siasatan?

“Lagipun belum ada sebarang pertuduhan di mahkamah untuk mendakwa saudara Zamri. Kenapa sesuatu yang masih belum dipastikan menjadi asas penilaian bahawa Islam di Malaysia ketika pentadbiran PH terancam?”

Sebelum ini, Mujahid ketika mengulas isu yang sama mempersoalkan maksud yang hendak disampaikan Mohd Asri terhadap kenyataannya yang mendakwa urus tadbir Islam negara ini ‘semakin terancam’.

Mufti Perlis dalam catatan di Facebooknya menyatakan; ‘Ramai berasakan di bawah urus tadbir hari ini, Islam makin terancam di Malaysia. Apakah pendapat anda?’

Dr Mujahid menegaskan, kerajaan hari ini komited selama setahun memastikan Islam terbela dan dimartabatkan melalui beberapa tindakan.

Beliau juha menjelaskan bahawa kerajaan PH sentiasa ambil pandangan bahawa kehidupan antara agama mesti di atas kedamaian dan bukannya kebencian serta memandang rendah agama lain.

Ini komennya:

“Saya ingin ucapkan terima kasih Dr Mohd Asri dari lubuk hati saya kerana sudi mengkritik kami dan saya sebagai menteri yang menjaga hal ehwal agama Islam bertanggungjawab menjelaskan keadaan secara objektif”

Sumber: BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here