Mak mengamuk adik ‘berisi’, jiran pula kata ‘duduk KL sampai mengandung!’

Ini satu kisah yang jadi bualan di laman media sosial. Perkongsian seorang gadis bernama Fatin Izzati tentang jirannya yang salah faham tentang perkara sebenar yang berlaku. Sampai jirannya itu ingatkan gadis berkenaan sedang hamil tanpa berkahwin.

Kisahnya berlaku apabila jiran berkenaan terdengar ibu Fatin Izzati ini sedang mengamuk kepada anak gadisnya yang sudah ‘berisi’ walau belum berkahwin.

Perbualan itu menyebabkan jirannya telah memandang serong terhadap Fatin Izzati yang selama ini disangkakan seorang anak yang baik.

Fatin Izzati Kamsani bagaimanapun menyedari sikap aneh jirannya itu apabila dia memberikan jelingan tajam kepadanya semasa pulang ke rumahnya di Kampung Baharu Lanjut, Sepang baru-baru ini.

“Hari pertama saya sampai di kampung, dia terus pandang ‘slack’. Saya pelik sebab makcik ni memang baik dan rapat dengan saya. Saya pun tertanya-tanya kenapa dia jeling saya semacam je”

Justeru, Fatin Izzati atau lebih mesra disapa Zaty, pergi bersemuka dengan jirannya itu untuk bertanya tentang perubahan peliknya sehingga memandang serong terhadapnya.

“Saya jumpa makcik tu sebab macam tak sedap hati pula. Saya nak tahulah saya ada buat salah kat dia ke apa ke? Alangkah terkejutnya saya apabila dia kata kat saya ‘sampai hati buat mak awak macam tu, mak awak tu baik sangat, ni yang awak balas kat mak awak. Ni lah duduk KL sampai mengandung.

“Saya pun ketawa sampai tak boleh keluar suara. Saya kata siapa yang mengandung ni… saya beritahu makcik tu saya masih single. Makcik tu tanya lagi habis siapa yang makcik dengar mak kamu marah-marah hari tu.

“Saya kata makcik dah salah faham ni. Saya rasa makcik dengar mak saya marah kat kucing kami ni,”

“Mak saya memang sayang kucing. Saya ada lima beradik dan kucing akan jadi adik keenam saya. Kami tak ada kucing peliharaan tapi setiap kucing jalanan yang datang ke rumah akan dibelai dan diberi makan seperti kucing sendiri.

“Nak dijadikan cerita, kucing yang kena marah tu lama tak datang rumah. Tiba-tiba bila muncul tau-tau dah bunting. Mak pun bebel dan kebetulan masa tu jiran tengah sapu laman rumah dan terdengar mak marah-marah. Jadi dia (makcik) pun ingat mak marah kat saya sebab adik-beradik perempuan saya yang lain belajar jauh dan saya seorang yang duduk dekat”

Selepas mendengar penjelasan Fatin Izzati, jirannya itu turut ketawa kerana salah faham dengan perkara berkenaan malah apabila ibu Fatin Izzati mengetahui hal berkenaan, dia pun terhibur dan hanya tergelak di atas perkara yang berlaku.

“Dia pun gelak sama. Benda ni jadi kelakar sebab semuanya berlaku kerana salah faham”

“Mak saya ni jenis yang lemah-lembut dan suka buat lawak. Kalau dia marah-marah kucing, dia akan bahasakan diri mak. Kami memang dah biasa. Orang yang suka kucing mesti tahu. Mungkin bila orang luar dengar tu yang jadi salah faham”

Pada masa sama, Fatin Izzati turut meminta orang ramai supaya tidak mengecam jirannya itu.

“Saya nak jelaskan bahawa makcik tu sangat baik. Dia marah kat saya pun sebab ambil berat. Janganlah kata dia ‘makcik bawang'”

Posting Fatin Izzati menjadi viral di laman media sosial dan telah di share lebih 8,000 kali dan mendapat 4,808 tanda suka.

Rata-rata netizen turut berkongsi kisah ibu masing-masing yang turut menggunakan panggilan ummi dan mak kepada kucing peliharaan mereka.

Sumber: mStar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here