“Biarkan pihak mahkamah jalankan tugasnya,” itulah antara reaksi dari Datuk Seri Bung Moktar Radin di laman media sosial Twitter miliknya setelah ditahan dan disiasat pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari Rabu.
Bung Moktar memberi respon itu selepas pengikutnya meminta komen berkaitan dengan berita penahanan dirinya dan juga isteri Zizie Ezette.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga turut memuat naik beberapa komen lain di Twitter. Ini antara komennya:
“Let the court do their job”
“InsyaAllah, perjalanan hidup kita ditentukan oleh Allah dan tidak ada yang dikecualikan, kebenaran akan menjadi benar.”
“Air port Kota Kinabalu otw to KL, kalau dah masuk gelangang politik kita harus bersedia berhadapan dgn semua kemungkinan”
“Ok tak ok kita bagi ok je lah, kita dipihak yang kalah maka kita buat cara orang kalah”
Kisah bermula apabila Datuk Seri Bung Moktar telah ditahan pada pukul 10.50 pagi (Rabu) di SPRM Sabah manakala isterinya Datin Seri Zizie Izette A. Samad di SPRM Putrajaya pada pukul 11.15 pagi.
Dikatakan, pada mulanya kedua mereka diminta hadirkan diri untuk melengkapkan siasatan akhir berkenaan kes rasuah melibatkan Felcra, menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh SPRM.
Dari laporan media, kes rasuh berkenaan melibatkan sejumlah RM3 juta.
Kedua-dua mereka telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sewaktu ditahan dan kini telah dibebaskan selepas lebih kurang lapan jam kenyataan mereka direkodkan, dengan jaminan SPRM.
Kenyataan media SPRM juga mengesahkan telah mendapat izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara bagi menuduh bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad itu dan isterinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat ini.
Bung Moktar dan Zizie Ezette bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.
Sumber: Twitter Bung Moktar / mStar