Mazlan Ahmad, atau lebih dikenali dengan nama Lan Pet Pet didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul seorang pengawal keselamatan.
Insiden berkenaan berlaku di Acacia Park Desa Jati, Nilai pada tarikh 6 April yang lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, hukuman itu dijatuhkan sebaik pelawak berasal dari Kedah itu mengaku salah di atas pertuduhan dikenakan terhadapnya.
Ini kenyataan pihak polis:
“Kes dianggap selesai kerana pelakon ini sudah dihadapkan di mahkamah dan didenda,”
Terdahulu, media telah melaporkan seorang pengawal keselamatan berusia 70 tahun cedera ditumbuk dan diterajang pelawak terbabit di perkarangan pondok pengawal di taman perumahan itu.
Dalam kejadian 8 malam, pelakon terbabit yang memandu Proton Perdana memasuki kawasan berkenaan itu tanpa memberhentikan kenderaan dan menulis butiran diri dalam buku pelawat.
Lan pet Pet yang menganggotai kumpulan Senario dikatakan mengejar sebuah kereta milik penduduk dan berlaku pertengkaran di hadapan sebuah rumah.
Disebabkan itu, pengawal itu menutup palang keselamatan menyebabkan kenderaan yang dipandu Mazlan tidak dapat keluar.
Dikatakan telah berlaku pertengkaran antara mereka sebelum mangsa ditumbuk di muka sebanyak tiga kali selain ditendang pada pinggang. Pelawak itu juga bertindak membaling batu ke arah mangsa.
Akibat kejadian, pihak polis telah bertindak menahan Lan Pet Pet berkenaan pada 7 April namun selepas itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Sumber: Harian Metro