Kronologi Kes Pemilik Produk SAMAN Fazura.. “Dah bayar RM156,000 kepada Fazura untuk promosi tetapi..”

Ini merupakan kes mahkamah melibatkan satu pemiilk syarikat produk kecantikkan yang failkan saman terhadap pelakon popular Fazura.

Satu syarikat pengeluar produk kesihatan dan kecantikan, Maydan Trading Sdn. Bhd. selaku plaintif kes itu memfailkan saman terhadap Fazura dan Universal Music Sdn. Bhd. selaku defendan kedua pada 16 Disember 2017.

Pemilik syarikat Maydan Trading Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin bayaran sebanyak RM156,000 telah dilunaskan kepada Fazura untuk promosi produknya iaitu Q-Tab.

Namun, kata pemilik syarikat itu iaitu Narhamdan Abd Malek, bayaran itu tidak setimpal dengan 75 peratus tugas yang dijanjikan oleh pelakon itu dalam mempromosikan produk tersebut sejak Oktober 2017.

Kata ahli perniagaan berusia 54 tahun itu, Fazura selaku defendan pertama hanya menjalankan satu sidang media, sesi fotografi serta video, mempromosi dan memuat naik berkaitan produk itu di Instagram miliknya sebanyak tiga kali.

Berdasarkan writ, Narhamdan memiliki dan menjual produk kesihatan di atas nama dagang Maydan dan salah satu produk itu adalah ‘candy’ yang boleh dikunyah dikenali sebagai Q Tab untuk kesihatan rambut, kulit dan kuku.

Pada 10 Ogos 2017, plaintif didakwa bersetuju secara bertulis dengan cara Helaian Terma (Term Sheet) yang dibuat oleh defendan kedua (Universal Music) untuk perkhidmatan Fazura.

Narhamdan memberitahu, pada awal Ogos 2017, beliau menandatangani Helaian Terma (Term Sheet) dan membuat bayaran awal sebanyak RM100,000 pada perjumpaan yang diadakan di The Curve, yang dihadiri oleh Fazura, Iman Tang, dua anak perempuannya, Marliya dan Mardina.

Katanya, beliau kemudian mengadakan sidang media pada akhir Ogos 2017 untuk mempromosikan rangkaian produk Maydan termasuk Q-Tab menerusi sokongan Fazura dan turut membayar RM56,000 untuk sesi fotografi dan video.

Perjanjian itu didakwa untuk Fazura memasarkan dan/atau mengendors produk untuk balasan bayaran sebanyak RM212,000 serta dibayar dalam tempoh enam bulan.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, antara perkhidmatan yang dibuat oleh Fazura adalah memasarkan produk secara besar melalui media sosial, lebih khususnya melalui saluran Instagram miliknya membabitkan 12 catatan (postings).

Selain itu, Fazura perlu membuat lima penampilan awam, penampilan tunggal pada sidang akhbar serta sesi pengambilan gambar dan video bagi kegunaan plaintif dalam pemasaran produk.

Dalam prosiding itu, Maydan Sdn. Bhd. diwakili peguam Dzaki Ezwan Baharin dan Surita Sunkey manakala Nur Fazura dan Universal Music diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan, Wilson Lim dan Joel Prashant.

Dalam pada itu, plaintif mendakwa defendan pertama pada akhir September 2017 telah melancarkan dan memasarkan produk kecantikan dan kesihatan iaitu Trudolly TruBeauty.

Akibat daripada itu, pelanggaran berlaku dalam pemasaran kedua-dua produk itu menyebabkan plaintif mendakwa mengalami kerugian.

Ini kerana plaintif mendakwa, rundingan dengan wakil defendan, Iman Tang secara lisan memberitahu pelantikan defendan pertama untuk memasarkan produk itu melalui Instagram adalah berstatus eksklusif dan mengecualikan produk lain yang belum diendors oleh Fazura.

Ini komen penuh Narhamdan:

“Saya menghadiri perjumpaan pertama yang diaturkan oleh anak kedua saya, Mardina bersama pengurus pelakon itu, Iman Tang di Renaissance Hotel Kuala Lumpur pada 18 Julai 2017.

“Beliau (Iman Tang) kemudian menjelaskan secara lisan tugas duta produk dan cara membantu memasarkan produk Q-Tab,” 

“Saya difahamkan selepas sidang media pelancaran Q-Tab, jualan produk kami bagus, namun, pada akhir September 2017, ia mula merudum.

“Mardina memaklumkan kepada saya pada awal Oktober 2017, Fazura melancarkan produk kecantikannya sendiri yang diberi nama Tru-Dolly dan Mardina menerima pertanyaan daripada pengguna sama ada kami mempunyai bekalan Tru-Dolly,”

Sementara itu, Fazura dalam pernyataan pembelaannya menafikan bahawa dirinya ada memasuki sebarang perjanjian dengan plaintif.

Fazura juga memberitahu mahkamah bahawa Iman Tang bukan ejen atau wakilnya, sebaliknya hanya pengurus dan sebarang keputusan berkaitan dengan kerjaya seni hanya ditentukan oleh dirinya sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here