Sebelum ini tak pernah terjadi dalam industri hiburan tanah air apabila seorang selebriti memfailkan saman terhadap netizen.
Kini perkara ni menjadi realiti apabila penyanyi yang juga ahli kumpulan Elite iaitu Linda Rafar menfailkan saman demi mempertahankan haknya selepas dibuli di alam siber.
Saman itu dibuat oleh Linda Rafar ke atas lebih 100 individu yang menulis kecaman dan kutukan melampau sehingga menjejaskan reputasinya di laman sosial berhubung dakwaan memfitnah jururawat baru-baru ini.
Selebriti berumur 41 tahun ini, berkata, pihaknya sudah mengenal pasti individu-individu tersebut menerusi beberapa platform media sosial dan akan menyerahkan surat saman berkenaan dalam tempoh terdekat.
Ini komen Linda Rafar:
“Saya bersama peguam sudah mengenal pasti lebih 100 individu yang mengeluarkan komen mengaibkan sehingga memberi kesan kepada keluarga kami.
“Persediaan sedang dilakukan bagi mengenal pasti butiran lanjut seperti alamat sab tuntutan itu kami akan serahkan dalam tempoh sebulan bermula hari ini,”
“Kami sudah mengenal pasti mereka yang terlibat dan memilih komen yang benar-benar keterlaluan sehingga mengaibkan bukan sahaja saya tetapi seluruh ahli keluarga saya.
“Apa yang saya buat ini untuk memberi pengajaran kepada mereka agar tidak sewenang-wenangnya meninggalkan komen berbaur fitnah.
“Selain itu saya juga mahu spekulasi yang berkaitan dengan kes ini dihentikan,”
Linda ditemui pada sidang media yang diadakan di Shah Alam pada Selasa yang turut dihadiri peguamnya, Nurul Hafidzah Hasan.
Dalam pada itu, peguam Linda Rafar iaitu Nurul Hafidzah berkata, menerusi saman itu pihaknya menuntut pihak terbabit untuk membuat permohonan maaf secara terbuka di platform media sosial masing-masing.
Katanya, kesemua individu itu diberi tempoh tujuh ke 14 hari untuk berbuat demikian selepas menerima notis tuntutan itu.
Ini jelas peguam Linda Rafar:
“Kami cuma menuntut mereka membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak anak guam saya di platform mana dia mengeluarkan kata-kata tohmahan dan fitnah tersebut.
“Sekiranya mereka masih berdegil pihak kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya,”
Sementara itu, Linda berkata, dia bertindak menuntut permohonan maaf itu kerana terpaksa menanggung malu sehingga memberi impak bukan sahaja kepada dirinya termasuk keluarga.
Kata Linda, pada awalnya dia tidak mahu meneruskan dengan saman itu namun selepas ibunya, Rasimah Abd Rahman meninggal dunia pada 11 Januari lalu, kritikan dan kecaman terhadap dirinya terus berlaku.
“Saya sebenarnya sudah tidak mahu memanjangkan perkara ini malah keluarga pun nasihatkan agar lupakan sahaja.
“Tetapi selepas ibu meninggal dunia, isu itu masih berterusan dan saya terus mendapat pelbagai kata-kata kecaman membuatkan adik-beradik saya pun meminta saya teruskan dengan saman itu,”
Sebelum ini Linda Rafar ada memuat naik keluhan terhadap sekumpulan jururawat yang didakwa bersikap biadab di sebuah hospital di Shah Alam pada Disember lalu.
Status tersebut mengundang kemarahan sesetengah pihak terutama golongan jururawat yang tak suka dengan tindakan Linda Rafar berkenaan.