Kes Bunuh Kucing Di Dobi, Ini Titah Tengku Permaisuri Selangor

Pencinta haiwan di Malaysia ternyata terkejut dengan kes penganiayaan kucing yang berlaku di sebuah dobi. Kucing yangs edang sarat mengandung di masukkan ke dalam pengering dan akhirnya kehilangan nyawanya. Sungguh tragis dan kejam sekali perbuatan berkenaan.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin telah menzahirkan rasa dukacita berhubung kes penganiayaan itu yang berlaku di Gombak. Menerusi kenyataan dikeluarkan di laman Facebook Pejabat Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, turut terkejut dengan perbuatan tersebut.

Baginda yang juga Penaung Diraja Kempen Stray Free Selangor (SFS) secara rasmi sudah menghantar surat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia meminta pelaku dikenakan tindakan sewajarnya jika terbukti bersalah.

Dalam surat itu baginda menyatakan perbuatan terbabit turut mengundang kesedihan ramai pencinta haiwan.

“Saya terkejut dan sedih dengan perbuatan menzalimi haiwan yang kian berleluasa. Sifat kemanusiaan seolah-olah hilang dalam diri pelaku sehingga sanggup menganiaya haiwan yang sarat mengandung”

“Saya minta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia dan pihak berwajib kenakan tindakan sewajarnya kepada pelaku yang terbukti bersalah supaya perbuatan seumpama ini tidak berulang.

“Saya menyokong usaha setiap individu yang dapat kemukakan bukti penganiayaan terhadap haiwan kepada pihak berkuasa supaya tindakan lanjut dapat dilakukan segera,” katanya seperti ditulis dalam kandungan surat tersebut.

Tengku Permaisuri Norashikin turut bertitah masyarakat harus peka bahawa haiwan mempunyai hak dan dilindungi di bawah undang-undang malah penderaan dan penganiayaan terhadap haiwan khususnya haiwan peliharaan tidak harus berlaku sewenang-wenangnya.

Dalam kes berkenaan, dua lelaki bertindak mendera kucing hingga mati dalam mesin pengering di kedai dobi Gombak Ria, dalam kejadian Selasa lalu. Polis kemudian memaklumkan dua suspek dipercayai terlibat dengan kes itu ditahan awal pagi semalam.

Di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa mereka yang membunuh, meracun atau mencederakan binatang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here