Kes Anggota Bomba Lemas Sebab Jin Atau Unsur Ghaib, Ini Respon Mufti

Minggu ini, Malaysia dikejutkan dengan tragedi lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong. Seramai 6 anggota bomba yang terlatih telah maut kerana hanyut dek arus deras di lombong dalam usaha untuk menyelamatkan seorang remaja.

Namun ada yang mengaitkan insiden ini dengan unsur mistik dan juga ghaib. Seperti biasa ada yang mengatakan kawasan itu ‘keras’ ada penunggu atau jin seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Menjelaskan perkara berkenaan, menerusi satu laporan Sinar Harian, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perkara itu tidak konkrit untuk diberikan satu pandangan muktamad.

Kata Mufti lagi, agama Islam mengajar umatnya supaya percaya bahawa sesuatu itu ada sebab yang semula jadi. Dalam kes ini akan dirujuk kepada faktor-faktor semula jadi seperti tarikan arus air yang deras.

“Biasanya kalau kita tak boleh menemui atau merungkaikan sebab yang semula jadi, kita berlindung kepada mistik, sedangkan perkara-perkara mistik ini tak boleh dibuktikan sama ada betul atau tidak.

“Walaupun kita tak nafikan ada makhluk ALLAH yang lain seperti jin, malaikat dan sebagainya, tetapi kita tak boleh nak pastikan adakah ia disebabkan oleh makhluk itu atau sebab-sebab yang semula jadi,”

“Tak semestinya awal-awal lagi kita dah mengatakan ini adalah disebabkan oleh jin dan sebagainya. Kita bimbang kepercayaan sebegini akan menjejaskan keimanan kita kepada ketentuan qada dan daqar ALLAH,”

“Kalau benda yang berlaku itu baik, maka kita diajar supaya bersyukur, tetapi kalau satu kemalangan yang menyebabkan kita sedih dan dukacita, kita sabar dan terima itu sebagai ketentuan daripada ALLAH SWT,”

Sementara itu, Mufti Negeri Perak iaitu Tan Sri Harussani Zakaria berkata, ajal dan maut adalah terletak di tangan Tuhan, ALLAH SWT. Ini jelas Mufti Perak pula:

“Jadi kalau jin dan sebagainya membunuh, nanti akan dihukum dan dimasukkan ke dalam neraka kalau betul ada jin yang bunuh.

“Namun yang kita tahu anggota bomba tersebut maut kerana kes tenggelam dalam air, maka mereka mati syahid dan perkara itu jelas dinyatakan dalam hadis. Mereka juga dapat pahala syahid kerana menyelamatkan orang, sebelum tiba-tiba tenggelam dan mati syahid”

Itulah komen dari dua Mufti yang dihormati di Malaysia tentang isu ini.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here