Kes Anggota Bomba Lemas Beri Impak Buat Jimmy Shanley, Bapanya Turut Maut Akibat Lemas Di Lombong

Kes lemas melibatkan enam anggota bomba dan seorang pelajar berusia 17 tahun di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong memberi impak yang amat besar kepada selebriti Jimmy Shanley.

Satu kejadian lemas telah berlaku kira-kira 34 tahun lalu yang telah meragut beberapa orang termasuklah bapa kepada pengacara Jimmy Shanley yang bernama Norjahan Saleh.

Jimmy Shanley bercerita peristiwa hitam yang mengorbankan anggota bomba itu menyebabkan dia terkenangkan kejadian serupa apabila nyawa ayahnya diragut di sebuah lombong di Batu 13 Puchong, daerah yang sama.

Mengimbas kes bapanya, arwah bapanya yang ketika itu bekerja sebagai jurutera kapal korek antara tujuh mangsa yang maut dalam tragedi kapal korek terbalik pada 8 Ogos 1984. Kejadian menyayat hati tersebut mendapat perhatian pelabagai pihak sehingga dilaporkan pada muka depan akhbar-akhbar tempatan ketika itu.

“Saya sangat sedih dengan berita mengenai enam anggota bomba dan seorang pelajar maut di lombong kerana tragedi itu lebih kurang sama dengan apa yang terjadi pada keluarga saya.

“Arwah ayah saya ketika itu bekerja sebagai jurutera kapal korek antara tujuh mangsa yang terkorban dalam tragedi kapal korek terbalik 34 tahun lalu.

“Setiap kali ada kes lemas, saya teringat ayah tapi tragedi anggota bomba itu lebih dekat dengan saya kerana kejadian berlaku di kawasan yang sama,”

“Orang yang melalui sahaja tahu betapa peritnya kehilangan orang tersayang. Apabila melihat anak-anak mangsa terkorban yang masih kecil itu menangis, ia sama seperti macam mana saya menangis ketika dimaklumkan berita kematian ayah sewaktu kecil dahulu.

“Saya faham perasaan mereka yang kehilangan seorang ayah ketika usia masih kecil. Saya berdoa agar ahli keluarga mangsa kuat dan tabah dengan ujian Allah.

“Kalau nak tahu, sehingga kini saya masih lagi simpan semua keratan akhbar yang melaporkan berita mengenai kematian arwah ayah saya,”

Pada 8 Ogos 1984, sebuah kapal korek milik Sungai Klang Dredging Sdn Bhd terbalik di sebuah lombong yang terletak di Batu 13 Puchong.

Insiden mengejutkan itu telah meragut nyawa tujuh orang termasuk bapa Jimmy yang terperangkap dalam kapal korek berkenaan dan sukar dikeluarkan kerana mangsa tersepit.

Bagaimanapun arwah Norjan berjaya ditarik keluar dalam keadaan terlungkup dengan bantuan penyelam anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here