Apalah nak jadi. Hanya kerana berebutkan harta, dua beradik bertindak luar kawalan apabila menghentak kepala bapa mereka sehingga maut dalam satu pergaduhan di sebuah rumah di Taman Bercham Sinar di Ipoh pada Jumaat lepas.
Namun begitu, tindakan dua orang suspek berusia 21 dan 20 tahun itu memakan diri apabila mereka ditahan polis selepas ayah mereka, R Pardeep Kumar, 56, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa dibawa ke hospital dengan menggunakan ambulans sebelum ditempatkan di wad kecemasan untuk rawatan.
Ini kenyataan polis:
“Suspek memberi alasan bahawa mangsa telah jatuh katil, bagaimanapun doktor yang merawat lelaki terbabit mendapati terdapat kesan kecederaan di kepala mangsa yang berpunca akibat hentakan.
“Seorang daripada anak mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan mengesyaki bapanya itu dipukul dua adik lelakinya sehingga tidak sedarkan diri,”
Menurut pihak polis, melalui temubual bersama lelaki berusia 34 tahun itu, dua adik beradik berkenaan melakukan perbuatan tersebut kerana harta berikutan mangsa bekerja sebagai peniaga.
“Mangsa pernah mengadu yang kedua-dua suspek selalu memukul dan mencuri wang simpanannya. Tiada sesiapa yang melihat kejadian tersebut dan mangsa tinggal di rumah berkenaan bersama dua suspek terbabit.
“Abang kepada kedua-dua suspek hanya mengetahui kejadian itu setelah dimaklumkan oleh adik perempuannya,” .
Pihak polis berkata, kedua-dua suspek kini telah direman tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk teruskan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Sumber: Sinar / mStar