Keputusan Mengejutkan, Altimet Umum Tak Beraksi Di Anugerah Juara Lagu (AJL33)

Penyanyi rap, Altimet mengesahkan tak akan beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) walaupun lagu dendangannya, Bunga, mara ke pentas akhir acara berprestij itu.

Altimet memberitahu, dia sudah memilih penyanyi yang akan menggantikan dirinya pada malam kemuncak yang akan disiarkan secara langsung oleh TV3 dari Axiata Arena, Bukit Jalil, Februari depan.

Ini penjelasan penuh dari Altimet tentang hal ini:

“Keputusan ini sejajar dengan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini iaitu saya tidak akan menyanyi lagi selepas usia genap 40 tahun pada 27 November.

“Saya tak rasa ralat jika orang lain yang menyanyikan lagu Bunga. Ini adalah atas kehendak saya sendiri dan dibuat dengan persetujuan produksi.

“Saya sudah memilih penyanyi yang bakal menggantikan saya. Nama mereka hanya akan diumumkan pada acara promosi AJL33 kelak”

Altimet yang juga bekas anggota kumpulan Teh Tarik Crew bersama DJ Fuzz dan Mizz Nina berkata, dia tidak akan tunduk dengan desakan yang mahukan dirinya menyanyi pada malam itu kerana mengatakan keputusan ni muktamad.

“Kalau saya beri kelonggaran untuk AJL33, akan ada permintaan lain pula.

“Ini adalah janji yang saya buat ketika menghasilkan album. Saya kena buat sehabis baik untuk tempoh 10 tahun ini, selepas itu, saya perlu buat benda lain.

“Jadi, saya kena tunaikan janji saya”

Tentang calon pengganti pada AJL33, Altimet yakin penyanyi terbabit mampu mendendangkan lagu Bunga dengan baik.

“Daripada segi konsep persembahan, kami akan bincang bersama. Saya letak sepenuh keyakinan kepada mereka.

“Apa yang penting, mereka kena bawa aura sendiri di pentas”

Sebelum ini, Altimet telah beraksi pada sesi kedua separuh akhir Muzik-Muzik 33 (SFMM33) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu.

Bunga hasil ciptaan Omar K dan John Jeevasingam dan lirik oleh Altimet, dipetik daripada album Altimet berjudul Air yang menemui peminat, April lalu.

Sumber: BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here