Isteri Meninggal Ketika Tidur, Muz Boboy Luah Perasaan

Nama kumpulan Boboy memang popular pada tahun 2000 kini kembali menjadi bualan ramai apabila vokalisnya, Naqiu menyertai program Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Tetapi ada kisah sedih yang telah dilalui salah seorang anggota kumpulan tersebut. 

Muz atau nama sebenarnya Mohd Muzaffar Nordian pemain gitar kumpulan tersebut seakan tidak berguna lagi selepas kematian isteri tersayang secara mengejut pada 9 Mei lepas.

Muz telah menceritakan semula detik-detik sayu yang dilaluinya:

“Ya, betul saya kini seorang bapa tunggal kepada tiga orang anak yang berusia dua, empat dan enam tahun. Arwah memang tak sakit apa-apa. Ketika itu kami pulang bekerja seperti biasa, pergi ambil anak-anak kemudian dia balik masak untuk berbuka puasa.

“Waktu itu dalam pukul 7.10 malam. Selepas menyediakan juadah berbuka, dia tiba-tiba masuk ke bilik untuk berehat. Ketika itu saya berada di dapur buat air untuk berbuka.

“Kemudian saya minta anak panggil ibu mereka… anak kejutkan dia tak bangun. Apabila saya sendiri pergi kejutkan, saya tengok dia dah tak sedarkan diri,”

“Waktu itu perasan saya dah rasa lain. Saya check nadi dah tiada dan badan dia pun sejuk… saya segera hubungi ambulans.

“Walaupun macam-macam yang pihak hospital lakukan selepas mereka sampai, saya seperti dah tahu dia sudah tiada,”

“Saya betul-betul terkejut… jadi hilang arah. Anda takkan pernah dapat bayangkan betapa saya lost ketika itu. Saya hampir kemurungan. Mujur ketika itu Shah (seorang lagi pemain gitar Boboy) ada dengan saya dan dialah yang beri kekuatan sejak arwah isteri pergi buat selamanya.

“Dia dan isterinya selalu beri semangat untuk saya teruskan kehidupan demi anak-anak. Jujur saya cakap, kalau mereka tak ada mungkin saya dah pergi ke hospital gila.

“Bulan pertama saya jaga anak-anak keseorangan, semuanya jadi kelam-kabut, tak boleh nak control apa-apa pun. Bayangkan tiba-tiba saya nak kena catch up semua benda… bangun pagi, siapkan anak-anak selain berdepan kerenah mereka lagi.

“Tetapi Alhamdulillah, keadaan sekarang semakin baik dan kembali normal, saya dah boleh uruskan semuanya sendiri. Tak ada masalah pun untuk saya jaga ketiga-tiga anak saya,”

“Masa awal-awal tu memang anak-anak selalu bertanya mengenai ibu mereka, tapi saya tak boleh nak jawab. Anak saya yang sulung itu memang faham dan yang umur dua tahun ni pun seperti tahu saja apa yang berlaku.

“Perasaan rindu itu sentiasa ada. Sampai hari ni pun perasaan itu masih sama. Malah saya masih simpan baju yang dipakai arwah pada hari terakhir dia meninggalkan kami. Setiap kali rindu, saya akan pegang baju itu. Begitu sajalah cara saya mengubati kerinduan padanya selain menatap gambar.

“Barang-barang arwah juga masih ada… ia tidak berusik dan saya memang nak ia berada di situ,”

Muz kini seorang penjawat awam di Putrajaya mengakui amat sukar pada awalnya untuk dia menjadi seorang bapa tunggal yang terpaksa ambil alih kesemua tugas yang dahulu dilakukan oleh isterinya.

Hasil daripada bedah siasat telah mendapati bahawa kematian mengejut isterinya adalah kerana serangan jantung.

Pasangan ini telah bernokah  pada 13 Mac 2010. Isteri Muz  juga adalah kakitangan penjawat awam.

Hasil perkahwinan mereka  telah  dikurniakan tiga orang anak iaitu Keisha Nur Zahra Alya, 6, Muhammad Mikhail Azfar, 4 dan Muhammad Mifzal Aariz, 2 tahun.

Semoga Muz terus tabah dengan ujian yang diberikan oleh Allah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here