Di negeri utara tanah air, Pulau Pinang, telah viral foto menunjukkan satu bangunan yang menunjukkan lambang salib bercahaya ketika di waktu malam.
Ekoran itu, mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor tampil memberi respon.
Beliau telah meminta kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyelesaikan isu paparan lambang salib di Grace Residence, Jelutong, di Pulau Pinang.
Kata mufti, pihaknya yakin kemelut itu boleh diselesaikan dengan mudah sekiranya semua pihak sedia bertolak ansur demi kebaikan bersama.
Ini komen mufti Pulau Pinang:
“Saya berpendapat isu ini perlu ditangani secara cermat dan bijaksana mengikut saluran undang-undang sedia ada.
“Pihak berkuasa perlu menyelidik terlebih dulu adakah kejadian ini sengaja dilakukan atau hanya secara kebetulan saja.
“Untuk itu, saya dengan penuh harapan meminta kerajaan negeri, menerusi Pejabat Timbalan Ketua Menteri 1 dan MBPP, dengan seberapa segera mengarahkan pemaju mengubah kedudukan lampu-lampu di bangunan terbabit supaya tidak kelihatan seperti lambang salib yang tidak disenangi oleh kalangan tertentu dan yang menjadi objek bantahan mereka,”
Dr Wan Salim berkata beliau berharap semua pihak harus sentiasa berhati-hati dalam tindak tanduk masing-masing.
Ini penting agar ianya tak mengeruhkan suasana hubungan harmoni dalam masyarakat yang berbilang kaum.
Kata Mufti lagi, Perlembagaan Persekutuan juga melarang usaha mempromosi atau menyebarkan agama lain di kalangan masyarakat yang beragama Islam.
“Sesuatu perkara yang tidak diingini tidak boleh diselesaikan dengan hanya menzahirkan perasaan marah saja, sebaliknya ia perlu ditangani dengan waras dan cermat mengikut saluran yang sah,”
Kewujudan lambang salib di Jelutong telah mencetuskan tanda tanya orang ramai dan penduduk sekitar. Lambang itu yang dipamerkan pada sebuah bangunan pangsapuri baru di kawasan berkenaan.
Perkara itu menjadi perbincangan hangat netizen, malah ia turut digelar sebagai ‘lambang salib paling besar di dunia’.
Dikatakan, lambang berkenaan adalah dalam bentuk pancaran cahaya daripada reka bentuk bangunan berkenaan yang menghasilkan cahaya berbentuk salib.
Sumber: BH