Ini punca Juliana Evans rahsiakan kehamilannya

Pelakon popular, Che Puan Juliana Evans menjelaskan ada sebab kenapa dia memilih untuk tidak berkongsi berita tentang kehamilannya lebih awal.

Rupanya, isteri kepada Tengku Tengku Shariffuddin ini memberitahu, dia merahsiakan buat sementara waktu selepas mendapat nasihat untuk tidak berbuat demikian.

Juliana yang kini sudah berumur 29 tahun berkata, ini kerana pada peringkat awal kehamilan pelbagai perkara boleh terjadi selain menunggu waktu sesuai untuk mengumumkan berita gembira itu kepada umum.

Ini penjelasan Juliana Evans:

“Saya dapat nasihat untuk tidak mendedahkan mengenai kehamilan terutamanya ketika tiga bulan pertama kandungan.

“Bukan apa, dalam tempoh itu apa sahaja boleh berlaku selain saya merasakan masanya belum sesuai. Alhamdulillah sekarang baru saya bersedia dan yakin untuk berkongsi berita gembira ini dengan semua peminat,”

Juliana bercakap sedemikian ketika menghadiri malam kemuncak Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam Sabtu.

Terdahulu pelakon filem Mael Lambong ini membuat kejutan apabila mengumumkan dia dan suami bakal menimang cahaya mata pertama Jumaat lalu.

Kini, kandungan Juliana Evans sudah pun mencecah usia lima bulan.

Berbicara lanjut tentang pengalaman awal ketika hamil, Juliana memberitahu dia bersyukur kerana tak ada alami apa-apa alahan teruk.

Ini komennya:

“Alhamdulillah, kesihatan saya baik sangat. Bulan pertama dan kedua sahaja yang tak berapa sihat tapi selepas itu okey sahaja.

“Saya sangat gembira sebab kehamilan saya ini agak senang juga… Sebab saya tak mengalami alahan teruk sangat. Beruntung juga suami saya,”

Jue berharap mereka dikurniakan cahaya mata perempuan memandangkan keluarganya dan suami mempunyai ramai saudara lelaki.

“Kalau boleh nak anak perempuan. Sebab keluarga belah saya dan suami ramai saudara lelaki. Jadi, kalau dapat anak perempuan tu Alhamdulillah,”

Pasangan ini disatukan pada 30 April 2017.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here