Pendakwah bebas yang juga merupakan bekas peserta program Imam Muda untuk musim pertama, Amiril Md Banin atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Miril disahkan telah pergi buat selamanya.
Imam Muda Miril meninggal dunia di usia 33 tahun dan meninggalkan seorang isteri dan dua anak lelaki berusia lima dan dua tahun.
Punca kematian Imam Muda Miril ialah akibat pendarahan otak. Imam Muda Miril menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan (HTAA) pada 6.45 petang Rabu.
Imam Muda Asyraf yang juga rakan baik Imam Muda Miril berkongsi kisah berkenaan di laman Instagram miliknya. Jenazah Allahyarham dibawa pulang dari hospital ke rumah keluarganya di Ampang Selangor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Permai.
Ini perkongsian Imam Muda Ashraf:
“Pemergianmu satu penyaksian. Membahagiakan orang lain mendatangkan kerinduan. Senyum tawamu mengimbau kenangan. Selama 3 bulan kita makan minum tidur bersama. Kenangan dikuarantin ketika tiada handphone, tiada internet. Hanya kita 10 orang bergurau senda. Dalam program Imam Muda Musim Pertama.
“Kematian yang baik. Kau akhiri hidupmu dengan puasa di Bulan Haram. Setelah zikir dan ceramahmu pada malam terakhir hayatmu begitu suram. Jemaah sudah mengetahui bahawa kau sedang bertarung kesakitan. Kerut di dahi. Membuktikan kau memaksa diri hadir memenuhi hajat jemputan.
Sumber: Awani / IG Imam Muda Ashraf