“Ini pertama dan terakhir saya bekerja dengan mereka..” – Awie Bengang Dengan Filem Hantu Kak Limah

Fenomena filem Hantu Kak Limah boleh dikatakan antara filem pada tahun 2018 yang banyak mengejutkan banyak pihak kerana filem ini berjaya meraih kutipan menghampiri RM40 juta.

Apabila kutipan filem ini begitu banyak, ramai peminat yang turut gembira kerana beranggapan pelakon dan krew filem berkenaan akan turut menikmati bonus kerana kejayaan filem ini yang amat mengagumkan.

Namun, ada perkara diluar jangka yang berlaku apabila pelakon utama filem tersebut iaitu Datuk Awie mendedahkan perkara sebaliknya berlaku iaitu bonus yang diterima amatlah sedikit sehingga dia pun malu nak bagitahu jumlahnya.

Ini sekaligus membuatkan Awie tidak ingin menyambung dan bekerjasama dengan penerbit yang sama sekiranya filem Hantu Kak Limah ini ada sambungannya selepas ini.

“Saya terkilan (jumlah) wang bonus yang diterima… Ini kerana kadar itu tidak sesuai dengan kerja keras kru produksi. Penerbit seharusnya lebih peka terhadap sumbangan kami demi kejayaan filem ini”

“Sebagai anak seni, saya rasa bertanggungjawab ‘membuka mulut’ bagi mempertahankan hak kami. Ini kerana dipandang enteng oleh sesetengah pihak. Bukanlah tidak bersyukur, namun jangan ambil kesempatan apabila filem Hantu Kak Limah sudah berjaya”

“Saya selaku teraju utama hanya menerima beberapa ribu ringgit sahaja… Inikan pula pelakon dan kru produksi lain”

“Berapa jumlah diterima, saya nak cakap pun malu. Tapi, kalau saya yang pelakon utama pun dapat ‘ciput’, berapa agaknya kru dapat? Bukan tidak bersyukur tetapi saya berasakan perkara ini tak patut berlaku.

“Sejujurnya, saya terkilan begitu juga dengan kru. Cuma mereka tak bersuara. Saya saja yang berani bercakap perkara ini sebab saya nak bela nasib anak seni. Ia bukan untuk saya saja, tetapi untuk semua.

“Biar umum tahu yang mana inilah situasi sebenar yang berlaku dalam industri perfileman negara. Malah, ini juga yang bakal dilalui artis lain pada masa akan datang jika perkara sebegini tidak ada penyelesaian terbaik,”

Kata Awie lagi, dia tiada masalah untuk berlakon di bawah arahan Mamat Khalid namun tidak sesekali di bawah produksi dan penerbit yang sama.

“Saya dengan Abang Mamat Khalid okey saja. Cuma, kalau filem ini ada sambungan daripada penerbit sama, saya takkan berlakon. Tak kisah kalau mereka nak matikan watak Husin itu.

“Ini adalah pertama dan terakhir saya bekerja dengan mereka. Jika selepas ini mereka nak tutup periuk nasi saya, silakan. Saya percaya kepada rezeki Allah dan banyak lagi penerbit yang nak bekerjasama dengan saya.

“Persoalannya sekarang, adakah bonus yang diberi kepada semua pelakon dan kru nilai yang selayaknya diterima jika mahu dibandingkan dengan kutipan puluhan juta yang diperoleh? Ini tak sepatutnya berlaku dalam industri. Apa salahnya balas dengan jumlah yang berbaloi,”

“Pelik juga sebab masa filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, saya dapat bonus yang sama macam diterima untuk filem Hantu Kak Limah ini. Sedangkan, HKL kutipan lebih tinggi.

“Malah, saya dapat tahu produksi filem lain yang kutipan kurang daripada HKL masih boleh beri bonus yang banyak kepada pelakon dan kru mereka. Tapi tak apa lah, benda sudah jadi. Saya reda dan terima saja,”

Filem Hantu Kak Limah mula ditayangkan pada 9 Ogos lalu berjaya mengutip hampir RM40 juta dibawah terbitan Astro Shaw dan Infinitus Gold.

Pengasas Infinitus Gold ialah pelakon Hong Kong iaitu Andy Lau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here