Kontroversi dan isu panas yang sedang melanda bekas ahli Inteam iaitu Suhaimi Saad memang tak dinafikan sedikit sebanyak mengaitkan nama kumpulan nasyid popular tersebut.
Melalui laman IG, kumpulan InTeam telah tampil memberi kenyataan rasmi tentang Suhaimi Saad.
KENYATAAN RASMI INTEAM BERKENAAN BEKAS ANGGOTANYA SAUDARA SUHAIMI SAAD
Berikutan beberapa kenyataan-kenyataan sensasi yang dikeluarkan oleh saudara Suhaimi Saad yang menjadi tular dan menjadi perbualan hangat di media sosial, pihak kami dari kumpulan Inteam ingin menjelaskan beberapa keterangan dan pendirian kami seperti berikut:
1. Kami telah mengambil masa yang agak lama untuk mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan beliau bagi tujuan menjaga silaturrahim antara kami dan bekas anggota Inteam yang mana kami tiada sebarang masalah dengan beliau.
2. Berdasarkan kepada prinsip kebebasan bersuara dan memberi pandangan, kami menghormati pandangan-pandangan peribadi beliau dan mengambil prinsip “agree to disagree” dengan beberapa isu yang ditimbulkan serta berharap beliau juga menghormati pandangan-pandangan dan fakta majoriti.
3. Kami mengambil langkah mengeluarkan kenyataan ini setelah terbaca komen-komen netizen menyatakan beliau merupakan anggota kumpulan Inteam yang mana fakta sebenarnya ialah beliau merupakan bekas anggota kumpulan Inteam sejak tahun 2005 dan tidak lagi bergerak bersama-sama sebagai ahli kumpulan ini. Kami hanya bertemu kadangkala di dalam beberapa acara yang melibatkan Inteam dan Suhaimi sebagai pengisi program.
4. Kami mendoakan kebaikan buat beliau dan menyeru anda semua mendoakan kebaikan dan kesihatan berpanjangan buat beliau yang dilaporkan mengalami masalah kesihatan.
Wallahua’lam, Terima kasih.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan pada 6 hari yang lalu.
Semalam pula, menerusi satu temubual di MHE TV, ini pula respon dari ahli kumpulan Inteam.
Tak mahu peminat mereka terus dibelenggu kekeliruan, ahli kumpulan InTeam iaitu Mohd Syahril Abdul Khalid atau Syah menegaskan, Suhaimi Saad sudah tidak ada kena mengena dengan kumpulan Inteam memandangkan lelaki itu telah mengundurkan diri sejak 2005 hampir 14 tahun yang lalu.
Ini komen Syah InTeam:
“Inteam telah pun mengeluarkan kenyataan bahawa kami tidak bersetuju dengan pendapatnya itu namun, sebagai kawan kami menghormati pendiriannya itu.
“Kami kesian melihat keadaan Suhaimi tetapi untuk menasihatkannya secara peribadi saya rasa biarlah orang yang lebih arif yang lakukan kerana isu yang dibangkitkannya itu sangatlah spesifik terhadap sesuatu bidang”
“Selagi dia masih beriman, kami akan buat persembahan bersamanya”
“Bahkan, dalam setiap artikel yang diterbitkan oleh pihak media mahupun blog, sudah tertera perkataan bekas ahli, namun pembaca tetap mengaitkannya dengan Inteam. Bagaimanapun, kami tidak punya kuasa untuk mengekang salah faham itu terus berlaku”
Bakal menjayakan Konsert Amal 4Nomena pada 20 April ini di dewan utama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syah turut ditanya tentang penglibatan Suhaimi Saad dalam persembahan kumpulan berkenaaan.
Menjawab persoalan yang diajukan, Syah dan tiga lagi ahli kumpulannya terbuka untuk menerima kehadiran Suhaimi bagi sama-sama menjayakan konsert tersebut.
“Insya-Allah, selagi iman masih ada, kami akan sama-sama menghiburkan penonton yang hadir, termasuk Suhaimi. Ini kerana, sewaktu dia menganjurkan sebuah acara di Kelantan pada tahun lalu, Suhaimi ada mengundang kami. Hubungan kami adalah pada tahap profesional demi kerjaya masing-masing,”
Selain Syah, kumpulan terbabit turut dianggotai oleh Muhammad Hazamin Harun (Amin), Hisyam Ahmad (Hisyam) dan Abdul Rahim Osman (Rahim).
Ini videonya: