Nor Latifah Abdul Rahman, 50 tahun merupakan ibu yang amat bertuah apabila enam orang anaknya telah berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran.
Ibu kepada lapan orang anak ini akhirnya telah berkongsi amalan dan tip yang dibuat sehingga anaknya berjaya menghafal al-Quran.
Selain didedahkan dengan bacaaan ayat al-Quran sejak dalam kandungan lagi, Latifah juga menekankan bahawa aspek pemakanan amat penting. Pemakanan anak-anaknya dijaga dengan amat rapi.
Ini komennya:
“Saya mula perdengarkan bacaan ayat suci al-Quran kepada anak-anak sejak mereka dalam kandungan, selain jaga makan bagi menguatkan daya ingatan,”
“Saya akan pastikan mereka ambil susu kambing dan madu. Badam pun baik untuk daya ingatan anak-anak.
“Saya juga akan pastikan mereka makan makanan yang saya masak. Kalau pergi mana-mana, memang saya bawa bekal dari rumah,”
Ini antara perkongsian dari Latifah ketika ditemui sempena Haflah Takrimi Akademi Al-Quran Amalillah kali pertama di Taman Tamadun Islam (TTI).
Pada majlis berkenaan, anaknya, Engku Sofiah Engku Saharuumnizam, 14 tahun, dinobatkan sebagai pelajar cemerlang setelah berjaya menguasai 30 juzuk al-Quran dalam tempoh lima bulan 10 hari di Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL) yang beroperasi di Bukit Payong, Marang, Terengganu.
Selain Engku Sofiah, lima lagi anaknya yang telah menyempurnakan hafalan 30 juzuk al-Quran ialah Solehah Radhiah, 25 tahun; Engku Mahmud Nasri, 23 tahun; Engku Muhammad Luthfi, 20 tahun; Engku Ahmad Syafiq, 17 tahun; Engku Sofiah, 14 tahun dan Engku Daud Shauqi, 12 tahun.
Menurut Nor Latifah, dia dan suaminya yang merupakan seorang pesara, Engku Saharuumnizam yang kini sudah berumur 57 tahun, tidak kisah berbelanja besar untuk pendidikan anak-anak mereka.
Ini komennya lagi:
“Disebabkan memilih hantar anak-anak ke pusat pengajian swasta, secara kasar, belanja sekolah kelima-lima mereka dalam RM3,000 setiap bulan.
“Suami saya tak kisah anak-anak nak ambil jurusan apa sekalipun, asalkan ayat-ayat al-Quran tersemat di dada,”
Sumber: Sinar Harian