Habis Semua Rosak.. Rumah Peserta Gegar Vaganza Tenggelam Akibat Banjir

Salah seorang bekas peserta Gegar Vaganza telah diuji dengan ujian dari Tuhan. Beliau ialah Zur Eda iaitu peserta Gegar Vaganza musim ke 3 yang mana Azharina telah memenangi pertandingan berkenaan.

Penyanyi berusia 53 tahun ini berasa sebak apabila rumahnya di Paya Jaras, Sungai Buloh dinaiki air sehingga paras pinggang, semalam dan menyebabkan barang di rumah rosak teruk.

Zur Eda berkata kerugian dianggarkan bernilai lebih RM20,000 satu jumlah yang amat besar juga.

“Semua barang berniaga, perabot, kelengkapan rumah dan baju rosak akibat banjir semalam,”

“Ketika itu saya dalam perjalanan ke Perlis kerana ada jemputan persembahan di sana, Sarah (anak) menghubungi saya memberitahu hujan sangat lebat sedang turun di Sungai Buloh.

“Perasaan saya ketika itu hanya berdebar kerana bimbangkan keselamatan anak-anak dan cucu”

Katanya, insiden banjir yang melanda kawasan rumahnya itu adalah pertama selepas kali terakhir berlaku kira-kira enam tahun lalu dan pernah juga berlaku 20 tahun yang lalu.

Zur Eda menyedari kawasan rumahnya terletak di kawasan rendah namun tidak menyangka kejadian semalam mengembalikan trauma yang pernah dilalui enam tahun lalu.

“Kira-kira 20 tahun lalu, banjir pernah berlaku kerana adanya pembangunan sekitar Sungai Buloh, kemudian selepas pihak berkuasa melakukan perluasan dan mendalamkan Sungai Buloh, tiada lagi kejadian banjir berulang.

“Kemudian tidak sangka ia berlaku sekali lagi enam tahun lalu dan terbaru petang semalam”

Memang ramai menasihatinya untuk berpindah atau melakukan penambaikan pada rumah dengan meninggikan struktur rumah namun kesempitan wang menjadi penghalang buat masa ini.

“Untuk naikkan struktur rumah akan menelan belanja yang sangat tinggi dan saya belum berkemampuan untuk melakukannya.

“Rumah dan tanah ini saja yang saya ada dan untuk berpindah bukan perkara mudah.

“Ramai tidak tahu ketika era kemelesetan ekonomi Malaysia sekitar lewat 90-an, saya terpaksa menjual dua rumah saya di Kajang dan Cheras, selain kereta kerana terpaksa untuk menampung kehidupan selain membesarkan anak-anak”

Ketika ini, dia dan suami terus berjuang dengan melakukan pelbagai usaha termasuk menjual nasi lemak dan kerepek untuk menampung kehidupan sekeluarga.

Zur Eda turut mendedahkan banjir yang melanda rumahnya semalam menyebabkan barang untuk jualan yang akan digunakan untuk menyertai beberapa karnival turut rosak dan telah kerugian.

“Saya tidak tahu bagaimana nak recover semula kerana sudah berhabis ribuan ringgit. Apa sekali pun, saya kena terus sabar dan reda serta tidak boleh berputus asa untuk bangkit semula”

Dalam pada itu, Zur Eda memohon pihak termasuk wakil rakyat di kawasannya dapat turun padang dan membantu selain menghulurkan sedikit bantuan kepada mangsa yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here