FLAT EARTH: Akhirnya Mufti Tampil Komen Isu Bentuk Bumi

Sejak kebelakangan ini, isu bentuk Bumi menjadi topik bualan hangat di laman media sosial.

Ini ekoran ada nya cabaran yang dibuat oleh seorang penyanyi iaitu Suhaimi Saad kepada angkasawan negara utuk bersumpah bahawa bumi itu berbentuk bulat atau sfera.

Dalam pada itu, Mufit Wilayah Persekutuan dilihat telah memberi pendapatnya tentang hal ini.

Katanya, isu ini memang dah laman dikaji dan dibahas kan oleh ramai orang termasuk ulamak sejak zaman dulu lagi.

Bagi Mufti, beliau berpendapat bahawa bumi iu adalah bulat atupun berbentuk seperti geosfera.

Ini sebenarnya telah disetujui oleh para ulamak bahawa sifat bumi adalah bulat. Walaupun bulat itu bukanlah dalam erti kata bulat keseluruhan tetapi boleh jadi bulat yang berbentuk sfera atau bulat seperti sebiji telur. Ini semua boleh dilihat menerusi penemuan moden.

Ini komen penuh dari Mufti:

Pendapat Mufti Wilayah Persekutuan

Kami tegaskan di sini bahawa sifat bumi adalah bulat seperti perbahasan di atas. Antara hujah yang menunjukkan kebulatan bumi berdasarkan firman Allah SWT:

يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya);

Surah al-Zumar (5)

Syeikh al-Maraghi berkata: Bukankah telah kita ketahui, bahawa bumi ini berbentuk bulat berputar di atas paksinya (orbit). Akibat orbit bumi ini, sudah tentu bahagian bumi yang menghadap matahari mengalami siang. Manakala siang bergerak dari sebelah timur ke barat dengan menuju ke daerah-daerah yang tadinya mengalami malam. Begitulah seterusnya seperti seseorang mengilas kainnya. Begitu juga dengan waktu, iaitu bergerak seperti berlakunya siang tadi. Oleh itu, antara siang dan malam itu saling melengkapi secara gantian. Ayat di atas mengandungi petunjuk, iaitu bumi ini adalah bulat dan kedua-duanya menyatakan bahawa bumi ini berputar di atas paksinya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/5863)

Imam al-Raghib al-Asfahani berkata: Perkataan “ كَوْرُ الشيءِ” adalah melingkari sesuatu, atau penggabungan di antara hujung sesuatu kepada hujung yang lain, seperti “كور العمامة” lingkaran atau gulungan serban (yang melingkari dan membungkus kepala). Dan firman-Nya ” يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ” (Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya), maka ini adalah isyarat akan peredaran matahari pada mathla’nya (pada tempat terbit dan terbenamnya, serta orbit/falak edarannya), dan isyarat pada berkurang atau bertambahnya malam dan siang. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 729)

Imam Ibn Hazm pula berkata: Ayat ini adalah penerangan yang paling jelas (bahawa siang dan malam) digulung sebahagian atas sebahagian yang lain. Diambil daripada (perkataan yang semakna, yakni) menggulung serban, ia menggulung dengan cara dibungkus mengelilinginya. Maka ini adalah nas yang menunjukkan bulatnya bumi dan berputar serta matahari berpusing. (Lihat al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal, 2/78)

Bahkan dinyatakan oleh Abd al-Qahir al-Baghdadi: “Mereka berijma’ bahawa bumi penghujungnya daripada semua penjuru akan bertemu pada titik yang sama.” (Lihat al-Farqu baina al-Firaq, hlm. 318)

Ini disahkan lagi oleh kenyataan angkasawan negara Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang menyatakan “Bumi berbentuk sfera atau lebih tepat, berbentuk geosfera. Tidak seperti bola tetapi seakan-akan bentuk telur.”[1]

Justeru, kami nyatakan bahawa penafian sifat bulatnya bumi adalah pendapat yang tersilap sementelahan lagi ia bertentangan dengan ijma’ yang tidak boleh dibangkangnya.

Penutup

Alhamdulillah, setelah kami menelaah beberapa kitab dalam masa beberapa hari ini, makanya kami mendapati ulama silam telah lama membahaskan isu ini. Bahkan sebahagian mereka telah membincangkan isu ini lebih dari seribu tahun. Justeru kefahaman kami menunjukkan Islam telah memimpin dunia dari sudut keilmuan dan makrifah alam jauh mendahului mana-mana negara yang hebat di muka bumi hatta empayar Parsi, Rom, Mesir Kuno, Ethopia, India, China dan Greek.

Keterbatasan pancaindera kita membuatkan kita tidak mampu untuk memahami ayat ini hanya dengan merujuk teks atau terjemahan semata-mata tanpa melihat tafsiran para ulama’ dan juga fakta-fakta dari sudut ilmu falak dan astronomi. Apatah lagi berhujah semata-mata dengan apa yang kita lihat di hadapan mata kita yang sudah tentu sangat jelas keterbatasannya.

Pancaindera semata-mata tidak akan mampu membantu kita menggapai kebenaran. Lihatlah kritikan al-Ghazali kepada golongan yang hanya berpegang kepada ilmu melalui pancaindera untuk mencapai kebenaran. Beliau mengarahkan untuk melihat bintang-bintang di langit yang mungkin sangat kecil seperti syiling dinar dengan pandangan mata. Tetapi, dengan panduan daripada pengiraan geometri membuktikan bahawa kebenaran tidak cukup dicapai hanya dengan pancaindera dan pada hakikatnya, ia lebih besar daripada bumi. (Lihat al-Munqiz min al-Dhalal, 112-113). Hujah ini sahaja sudah cukup untuk membuktikan bahawa dalam isu ini, kemampuan pancaindera kita adalah terbatas dan amat memerlukan kepada teknologi di sampai panduan utama daripada wahyu.

Kami nukilkan satu pandangan yang tuntas daripada almarhum Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi yang berkata dalam menafsirkan ayat 5 dari Surah al-Zumar:

يُكَوِّرُ اللَّيْلَ عَلَى النَّهَارِ وَيُكَوِّرُ النَّهَارَ عَلَى اللَّيْلِ

Maksudnya: Ia pula menjadikan malam melingkari siang (dengan gelapnya), dan menjadikan siang melingkari malam (dengan cahayanya);

Surah al-Zumar (5)

Syeikh Sya’rawi berkata: Rasulullah SAW mengetahui rahsia kurniaan Quran tidak akan terhenti. Justeru, beliau tidaklah menafsirkan keseluruhannya. Bahkan beliau menjelaskan mengikut kadar kemampuan akal semasa supaya mereka tidak berpaling daripada agama. Kalaulah ayat al-Quran mengungkapkan ketika itu bahawa bumi bersifat bulat dan mengelilingi matahari, adakah seseorang boleh mempercayainya? Sedangkan sehingga sekarang, masih ada yang mengingkarinya. Justeru, kami dapati Quran menggunakan isyarat bahasa yang amat ringan sehinggalah dapat meluaskan akal untuknya lantas Allah berfirman dengan ayat ini. Oleh kerana malam datang di belakang siang hari dan siang datang selepas malam, maka ia menjadi bukti sifat bumi seperti bulatan. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 6/3785)

Marilah sama-sama kita menginsafi untuk meyakini betapa bumi sebagai tempat tinggal manusia hendaklah diiisi dengan acara ibadat, ketaatan dan kepatuhan kepada Allah, pada saat yang sama menjauhkan daripada perdebatan yang boleh membawa pertelingkahan serta perkataan nista sesama sendiri.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah semoga kita sentiasa diberi taufiq dan hidayah serta petunjuk dalam mencari kebenaran dan kami tutup dengan doa ini:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقَّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ

Maksudnya: Ya Allah! Tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikanlah kami jalan untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami jalan untuk menjauhinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here