Umum sudah pun tahu tentang kes yang melibatkan suami kepada pelakon Diana Danielle iaitu Datuk Farid Kamil berkenaan kesalahan dadah.
Terkini apabila suami pelakon Diana Danielle iaitu Datuk Farid Kamil yang mahu mengetepikan hukuman penjara selama sembilan bulan telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Rabu.
Farid Kamil Zahari yang berusia 38 tahun akan menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan apabila telah disabitkan dengan kesalahan dadah bermula pada Khamis lepas.
Menurut laporan daripada Berita Harian, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli, berkata Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ab Karim Ab Rahman dalam penghakimannya telah pun menolak rayuan pelakon tersebut dan telah mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Mei lalu.
“Hukuman penjara terhadap tertuduh berkuat kuasa pada Khamis minggu lalu,” jelasnya lagi.
Tertuduh iaitu Farid Kamil dilihat datang bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga rapat mahupun isterinya Datin Diana Danielle semasa prosiding itu berlangsung.
Pada bulan Mei lepas, bintang filem Remp-It itu telah dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan apabila dia disabitkan dengan kesalahan menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC).
Menurut rekod, hukuman tersebut telah dijatuhkan Majistret Nor Ariffin Hisham selepas tertuduh memilih untuk berdiam diri semasa diperintahkan membela diri.
Namun, selepas sahaja 35 hari menjalani hukuman di Penjara Kajang, Ab Karim telah membenarkan penangguhan hukuman tersebut apabila permohonan rayuan difailkan oleh Farid Kamil.
Hasil rekod daripada pertuduhan,suami kepada pelakon Datin Diana Danielle telah didakwa kerana salah penggunaan dadah pada jam 4.30 petang di Pejabat Narkotik Petaling Jaya, dalam Daerah Petaling Jaya, pada 11 Januari 2018 iaitu dua tahun lepas.