Memang tak sangka, dulu masa sekolah buat majlis kahwin olok-olok. Akhirnya kahwin betul pula.
Ketika di jamuan akhir tahun sekolah, 10 tahun lalu, lelaki bernama Lokman dan isterinya Alyn telah main kahwin-kahwin, kini mereka betul-betul kahwin.
Kedua-dua mereka yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor telah disatukan dengan ikatan sah pada Jumaat lalu selepas bercinta sejak tingkatan dua.
Lokman Mansor dan isterinya, Alyn Fazira Adzelan diusik oleh rakan-rakan untuk berkahwin ‘olok-olok’ pada jamuan sempena berakhirnya peperiksaan Penilaian Menengah Rendah(PMR)yang diduduki mereka pada 2009.
Ini jelas Lokman:
“Sekarang kan tengah trending perbandingan gambar lama-lama, ini kiranya #10yearschallenge kami. Gambar itu diambil masa kami tingkatan tiga, selepas jamuan habis PMR.
“Semua paksa kami bersanding sekadar suka-suka. Kelakar bila diingat kembali. Alhamdulillah sekarang kami menjadi pasangan suami isteri,”
Kisah mereka bermula apabila gambar mereka dimuat naik oleh rakan mereka di Twitter pada Jumaat dan mendapat lebih 14,000 tanda suka. Gambar itu menunjukkan mereka ketika di tingkatan 3 dan juga ketika mereka berkahwin 10 tahun kemudiannya.
Kedua-dua mereka yang berusia 25 tahun itu tidak pernah ‘berpisah’ ketika di bangku sekolah. Lokman dan Alyn pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Batu 9 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Harun di Tanjung Karang.
Ini jelasnya lagi:
“Sejak dari darjah satu lagi kami sekelas, sampailah ke tingkatan lima.
“Cuma, kami terpaksa bercinta jarak jauh selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana Alyn sambung belajar di matrikulasi Perlis dan saya pula di Politeknik Ungku Omar di Ipoh, Perak,”
Lokman yang kini bekerja sebagai pemeriksa kawalan mutu di Shah Alam turut berkongsi kenangan percintaannya ketika zaman persekolahan.
“Dulu, masa sekolah pernah kantoi tulis surat cinta dan tertinggal pula dalam buku latihan.
“Bila cikgu jumpa surat tu, saya diperli oleh guru-guru kerana sudah pandai tulis surat cinta ketika masih bersekolah,”
Apapun tahniah diucapkan buat Lokman dan juga Alyn, semoga mereka bahagia selalu.
Sumber: mStar