Dua Rakyat Malaysia termasuk seorang Datin disahkan terkorban akibat gempa bumi Lombok semalam

Dua warga Malaysia telah disahkan terkorban semalam ekoran gempa bumi yang berlaku di Lombok, Indonesia. Sementara itu enam lagi rakyat Malaysia hilang akibat gempa bumi magnitud 5.8 berkenaan.

Individu yang terkorban ialah Datin Tai Siew Kim dan seorang lagi mangsa ialah Lim Sai Wah.

Datin Tai Siew Kim merupakan Timbalan Ketua Pengarang Sin Chew Daily dan perkara ini disahkan oleh Sin Chew Daily. Mangsa yang kini berumur 56 tahun dikatakan bercuti di Lombok bersama anak lelakinya, Teoh Jin Yik, 20 tahun yang dilaporkan cedera dan dirawat di hospital berdekatan.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan, berkata semua mangsa difahamkan berada di Air Terjun Tiu Kelep Senaru ketika gempa bumi menggegarkan pulau itu.

Dikatakan usaha mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut kenyataan itu lagi, gegaran akibat gempa bumi itu turut dirasai di kawasan Lombok Utara, Lombok Timur, Lombok Barat, Lombok Tengah, Mataram di Nusa Tenggara Barat dan sebahagian kawasan selatan Pulau Bali.

Kementerian turut melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap semua mangsa dan keluarga mereka ekoran daripada insiden gempa bumi berkenaan.

Justeru, rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana itu diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian 62215224947/6281380813036 dan Wisma Putra di talian 03-88874570.

Kementerian Luar telah memberi nasihat supaya rakyat Malaysia melaporkan diri dengan kedutaan dan patuh kepada arahan pihak berkuasa tempatan. katanya.

Media tempatan melaporkan, sejumlah lebih kurang 40 pelancong termasuk warganegara Malaysia yang sedang menikmati keindahan lokasi Air Terjun Tiu Kelep, Desa Senaru, Lombok Utara pada Ahad berdepan situasi cemas apabila gempa bumi yang melanda wilayah tersebut menyebabkan kesan tanah runtuh.

Difahamkan, terdapat 22 pelancong rakyat Malaysia berada di lokasi alam semula jadi itu sewaktu kejadian berlaku.

Kejadian gempa bumi pada jam 2.07 petang (waktu tempatan) itu turut menjejaskan beberapa kawasan di wilayah barat Nusa Tenggara, tetapi ia tidak menyebabkan ancaman tsunami.

Menurut Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), pusat gempa itu terletak 24 kilometer (km) dari daerah timur Lombok, 36km di timur laut daerah utara Lombok, 37 km di barat laut Pulau Panjang di daerah Sumbawa dan 63km di timur laut Mataram.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here