Dua Lelaki Sumbat Kucing Dalam Dobi Berjaya Ditahan

Sejak beberapa hari yang lalu, telah viral kes kejam terhadap haiwan kucing apabila beberapa lelaki bertindak memasukkan seekor kucing kedalam pengering di dalam sebuah dobi.

Kucing tersebut akhirnya mati akibat kepanasan dryer dobi itu yang terletak di Taman Gombak Ria, Selangor.

Kes ini mendapat liputan pihak media kerana perbuatan lelaki-lelaki berkenaan amatlah kejam dan tiada hati perut langsung. Orang ramai terutama pencinta kucing amat marah dengan kekejaman terbabit dan mahu kesemua lelaki berkenaan ditahan dan dihukum dengan berat.

Hari ini, dalam perkembangan terbaru, melalui laporan Berita Harian, dua daripada tiga suspek sudahpun berjaya ditahan oleh pihak berkuasa. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof mengesahkan perkara berkenaan.

Khabarnya, kedua-dua suspek ditahan di sekitar Gombak dan pihak berkuasa ketika ini masih lagi berusaha untuk mencari seorang lagi suspek yang turut terlibat dalam kekejaman terhadap haiwan itu.

Semalam, pihak berkuasa telah mengedarkan gambar ketiga-tiga suspek bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis. Kesemua suspek bakal didakwa di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan.

Suspek kini ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Diimbas kembali, dalam kejadian yang berlaku Selasa lepas, sekitar jam 12.30 malam, seekor kucing betina yang sedang bunting tealh diangkat oleh lelaki dan dimasukkan dalam mesin pengering sebelum dihidupkan.

Bangkai haiwan berkenaan ditemui dalam keadaan berdarah oleh pelanggan kedai dobi berkenaan pada pukul 10.30 pagi. Rakaman CCTV menunjukkan tiga orang lelaki melakukan perbuatan terkutuk itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here