Dua lelaki dituduh bunuh kucing di dobi.. MENGAKU TAK BERSALAH

Ini perkembangan tentang kes penderaan dan kekejaman terhadap seekor kucing di sebuah kedai dobi yang membuatkan ramai berduka dan marah tentang kejadian ini. Kes ini mula menjadi perhatian setelah satu rakaman video CCTV menunjukkan perbuatan terkutuk itu.

Dua lelaki yang juga rakan serumah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan menyebabkan penderitaan terhadap seekor kucing betina bun­ting hingga mati di dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Batu Caves, Sela­ngor minggu lepas.

Suspek berkenaan ialah seorang pemandu teksi, A. Mohanraj, 41 tahun, dan rakannya S. Satthiya, 26 tahun, yang bekerja sebagai juruteknik elektrik. Kedua mereka me­ngaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, ke­dua-dua mereka didakwa telah dengan kejam menyebabkan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap seekor kucing di premis Dobi Queen Self Service Laundry, Taman Gombak Ria antara pukul 12.54 tengah malam hingga 1 pagi pada 11 September lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Di laman media sosial, ramai yang berang apabila kedua mereka ini mengaku tak bersalah apabila dengan jelas ada bukti video kekejaman mereka itu. Ramai berharap hukuman setimpal diberikan ke atas kekejaman mereka ini.

Sumber: KOSMO!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here