Seorang wanita yang bernama Balqis Mohd Saidi yang dalam kesedihan semasa menceritakan keadaan suaminya yang kini sedang bertarung nyawa selepas terlibat dengan kemalangan jalan raya pada Sabtu lalu.
Balqis telah menceritakan detik bagaimana suaminya itu telah mengalami kecelakaan semasa dalam perjalanan ke Songkhla, Thailand dari Sungai Petani, Kedah untuk mengambil barang-barang niaga dimana suaminya itu mempunyai perniagaan berkaitan alat ganti motosikal.
Ini luahan sayu dari seorang isteri yang mengalami nasib malang selepas suaminya kemalangan jalan raya:
“Kelmarin (Jumaat) dia buat kejutan membawakan kek berbentuk unicorn sempena hari lahir saya, sekarang dia terlantar tidak sedarkan diri”.
“Sebelum itu, pada pukul 10.01 pagi dia menghantar mesej kepada saya mengatakan dia ada di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Gurun. Ketika itu saya sedang kerja di sebuah spa di Sungai Petani tapi pukul 10.40 pagi, saya ada hantar mesej kepadanya namun tidak dibalas.
“Sekitar pukul 11 pagi, saya terima panggilan daripada ibu mentua tapi tak sempat jawab kerana sedang buat rawatan kepada pelanggan. Tidak lama kemudian, ibu saya pula telefon mengatakan suami saya kemalangan dan keadaannya 50-50. Memang saya tak tunggu lama, terus ambil beg dan bergerak ke rumah ibu mentua yang terletak berdekatan,”
“Suami saya masih tidak sedarkan diri dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital di Alor Setar. Terlalu sedih melihatkan keadaannya sedangkan sehari sebelum kemalangan, dia sempat buat kejutan sempena hari lahir saya.
“Sebenarnya sebelum itu, saya ada beritahu, hari lahir saya sudah hampir dan saya teringin sangat hendak kek unicorn. Sehari sebelum birthday, saya ulang lagi dan dia jawab, tak payah lah sebab tak sempat nak tempah.
“Rupa-rupanya dia siap berpakat dengan rakan sekerja saya di spa untuk buat prank, sebelum akhirnya dia muncul bawa sebiji kek unicorn. Memang sangat terharu, tak sangka dia buat kejutan. Tapi semalam (Sabtu), dia beri ‘kejutan’ lagi,”

“Setiap waktu saya akan ceritakan aktiviti yang saya lakukan pada hari tersebut. Surah Yasin juga sentiasa saya bacakan di tepi telinganya, di samping bacaan doa yang lain.
“Saya juga bisikkan kepadanya bahawa dia kena kuat untuk saya. Memang pada awalnya saya tak kuat menerima berita ini, tapi jika saya tak kuat, macam mana suami nak kuat. Jadi saya kata, kita kena sama-sama kuat hadapi perkara ini bersama-sama.
“Sedih memang tak boleh ungkap. Saya rindu dengan usikannya, rindu untuk dia ada di sebelah. Kini tiada lagi tangan yang memeluk saya ketika tidur. Tiada lagi suara yang mengusik. Tapi saya tahu, suami saya kuat.
“Setiap kali saya bisikkan kata-kata di telinganya, dia akan memberikan reaksi seperti menggerakkan kelopak mata dan jari. Tiada apa yang saya pohonkan melainkan ingin suami kembali pulih seperti sedia kala. Saya pohon mereka di luar sana agar sama-sama doakan kesembuhan suami saya,”
Jelas Balqis lagi, suaminya Alif Iskandar yang juga berusia 22 tahun telah menunggang motosikal berseorangan dan dikatakan telah terlanggar sebuah kereta yang dipakirkan di laluan kecemasan.
Disebabkan pelanggaran tersebut, suaminya telah mengalami kecederaan parah dengan kaki kiri patah tiga bahagian, patah kedua-dua belah tangan, tulang muka remuk, serta kecederaan pada limpa dan buah pinggang yang serius.
Menurut cerita dari Balqis, ia adalah sambutan ulang tahun harijadi yang pertama sejak mereka bergelar suami isteri pada Disember tahun lalu.
Menurutnya lagi, sebagai seorang isteri, dia akan sentiasa berada di sisi Alif untuk melihat perkembangan positif Alif dan di samping selalu membacakan ayat al-Quran agar suaminya akan sembuh seperti sedia kala.