Datin Alyah Jalani Rawatan IVF, Tetapi Akhirnya Terpaksa Tunda.. Baca Penjelasannya

Isteri kepada pengarah muzik popular Datuk Ramli M.S iaitu Datin Alyah telah mendedahkan bahawa dirinya telah bertemu dengan pakar perubatan untuk menjalani rawatan persenyawaan in-vitro (IVF) sekitar awal tahun ini.

Penyanyi ini akhirnya akui terpaksa tunda dan membatalkan hasrat untuk meneruskan rawatan berikutan jadual seni yang padat ketika ini apatah lagi lagunya iaitu Jutaan Purnama sedang hit.

Alyah yang kini sudah berumur 37 tahun menyatakan, setelah lima tahun mendirikan rumah tangga, dia tak nafikan perasaan mahu bergelar seorang ibu semakin menebal.

Namun begitu, katanya lagi Datuk Ramli MS tidak pernah memberikan sebarang tekanan.

Ini jelas Alyah menerusi Kosmo:

“Saya ada pergi menemui pakar perubatan sekitar awal tahun ini untuk menjalani rawatan IVF. Oleh kerana jadual seni yang padat berserta kontrak yang telah ditandatangan, saya tunda dahulu hasrat itu.

“Datuk (Ramli) sudah mempunyai dua anak dan dia tidak pernah memberikan tekanan kepada saya. Cuma sebagai isteri dan wanita, saya ingin mempunyai cahaya mata,”

Alyah menambah, dia bercadang mahu memperlahankan kerjaya seninya pada tahun depan untuk memberi fokus terhadap usaha mendapatkan zuriat termasuk menjalani rawatan IVF.

“Dalam rawatan terdahulu, doktor telah memaklumkan untuk memastikan rawatan IVF saya berjaya, saya tidak boleh terlalu aktif dalam tempoh kira-kira setahun. Saya perlu melakukan persediaan rapi sebelum melalui siri rawatan tersebut,”

Untuk pengetahuan, Alyah dan Ramli MS telah bergelar sebagai pasangan suami isteri selama 5 tahun setelah mereka mendirikan rumah tangga sekitar Mac tahun 2013.

Pasangan dengan jarak usia 23 tahun itu pernah menimbulkan beberapa kontroversi kerana merahsiakan hubungan mereka dan baru-baru ini mencetuskan pelbagai spekulasi setelah Alyah menulis komen yang mengejutkan di IG Ramli MS.

Sumber: Kosmo Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here