ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 49 tahun yang ditahan semalam ekoran merakam video ‘kenduri kepala kambing’ sambil mempertikai Perintah Kawal Pergerakan dalam kejadian di Langgar telah direman empat hari bagi membantu siasatan polis.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata tempoh tahanan reman bermula hari ini hingga 24 Mac ini.
Manakala seorang lagi lelaki berusia 60 tahun dipercayai penganjur majlis kenduri itu dibebaskan dengan jaminan polis malam tadi.
Lelaki terbabit yang dipercayai perakam video itu kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (2) (Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit(PPPB) 2020, Seksyen 7(1) PPPB 2020, Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Video berdurasi 57 saat itu menunjukkan suasana di sebuah rumah di kawasan Langgar, di sini yang mengadakan kenduri ketika orang ramai diarahkan berada di dalam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.
Semalam, polis menahan dua individu iaitu perakam video dan juga tuan rumah bagi membantu siasatan berhubung video tular memaparkan perakam video di kenduri kepala kambing di Langgar yang mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan, Rabu lalu.
Dua lelaki masing-masing berusia antara 49 dan 60 tahun ditahan di kediaman berasingan dalam serbuan berkenaan di Langgar, Mukim Telaga Mas, Pokok Sena lebih kurang jam 7.15 malam.
Ini adalah kes pertama membabitkan tangkapan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan.
Sumber: Berita Harian