Terdahulu, Dato Seri Adnan Abu atau Dato Red memuat naik status di Instagram yang mahukan pihak pengurusan Adira iaitu Nova Music menyelesaikan isu muzik video itu yang mengandungi adegan bersentuhan isterinya.
Adnan ketika dihubungi berkata, dia memberi tempoh tiga hari sehingga hari ini kepada syarikat pengurusan Adira bagi menjawab dan menyelesaikan perkara itu.
Ini komen suami Adira:
“Saya beri mereka tempoh tiga hari sejak Jumaat lalu untuk beri penjelasan. Kalau boleh saya nak mereka padam muzik video itu. Jika tidak sekali pun, buat suntingan semula dengan membuang adegan berkenaan dan muat naik semula.
“Saya juga sudah cuba menghubungi ‘boss’ Adira, tetapi tidak berjawab. Malah, pengurus Adira pun hanya baca mesej yang dihantar tanpa sebarang balasan.
“Cara mereka ini seolah-olah tidak menghormati saya sebagai suami Adira. Sekurang-kurangnya mintalah maaf,”
KOMEN BALAS ADIRA
Sementara itu Adira Suhaimi tak mahu mengulas lanjut tindakan suaminya itu yang memuat naik status di Instagram berhubung babak bersentuhan Adira dengan model lelaki dalam muzik video lagu Pujaan Hati.
Ini jelas Adira:
“Saya tak nak komen lebih bagi mengelakkan isu ini berpanjangan. Cuma, apa boleh dikatakan, perkara ini boleh dibawa berbincang di rumah. Tidak perlu nak diuar-uarkan di laman sosial.
“Ia boleh mengeruhkan lagi keadaan dan memberi ruang orang bercakap yang bukan-bukan,”
Ditanya sama ada dia akan buang muzik video itu, Adira berkata dia tidak mahu bersikap mementingkan diri dan perlu fikir banyak pihak.
Ini jelasnya lagi:
“Sebelum buat keputusan, saya kena fikir banyak perkara. Bukan saya seorang saja dalam muzik video ini tetapi membabitkan banyak pihak. Saya tak boleh pentingkan diri dengan buat keputusan sendiri.
“Lagi pula, pihak pengurusan sudah banyak bantu saya. Dari awal sampai sekarang, mereka sangat profesional,”
KOMEN WAKIL SYARIKAT
Sementara itu, wakil syarikat rakaman dan pengurusan Adira, iaitu Roslan Adlie ketika dihubungi berkata, pihaknya cuba mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Adira bernaung di bawah syarikat kita. Apa-apa pun, kami perlu berbincang dan mencari jalan penyelesaian. Dalam masa sama, kami hormat suami Adira,”
Sumber: HMETRO