Bedah Siasat Selesai, Kes Kematian Adib Diklasifikasikan Sebagai Kes Bunuh

Jenazah anggota bomba iaitu Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim telah dibawa keluar dari perkarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur, di sini, pada 7.18 pagi selepas selesai proses bedah siasat.

Dengan menggunakan van jenazah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jenazah Muhammad Adib dibawa keluar dari IPFN diiringi pasukan pengiring JBPM dan Polis Diraja Malaysia untuk dibawa ke kemudahan Airod, Subang.

Allahyarham Muhammad Adib akan diterbangkan menggunakan helikopter di lapangan terbang berkenaan ke Kedah untuk dikebumikan di Kampung Tebengau, Kuala Kedah atas permintaan keluarga.

Terdahulu, jenazah Muhammad Adib dimandi, dikafan dan disolatkan di perkarangan IPFN yang disertai lebih 50 jemaah terdiri daripada pegawai kanan dan anggota bomba.

Setibanya jenazah Muhammad Adib di Kedah, JBPM akan mengadakan istiadat pengebumian kebombaan sebagai tanda memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Jenazah Muhammad Adib dijangka akan dikebumikan selepas solat Zuhur pada hari ini.

Dalam kejadian awal pagi 27 Nov lalu, Muhammad Adib, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham ketika itu, menyertai operasi memadam kebakaran di hadapan kuil berkenaan namun ada perusuh bertindak luar jangkaan dengan menarik Adib keluar dari jentera bomba dan memukulnya.

Susulan kematian anggota bomba berusia 24 tahun itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab berkata kes itu kini diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

Orang ramai dilihat mahu mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dan diberi huluman yang berat dan setimpal dengan jenayah yang dilakukan.

Sumber- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here