Ini berita terkini tentang klinik swasta di Malaysia. Dikatakan bermula tahun depan, caj dan bayaran kos rawatan klinik swasta dan juga hospital swasta akan naik sehingga 3 kali ganda.
Memetik satu laporan dari Bernama, ianya menulis bahawa caj pengamal am antara RM10 dan RM35 akan dinaikkan kepada antara RM35 dan RM125.
Kenaikan itu tealhpun dipersetujui pada “Sesi Town Hall: Konsultasi Pihak Berkepentingan Bagi Cadangan Semakan Caj Pengamal Am” yang telah berlangsung di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Perubatan iaitu Datuk Dr Azman Abu Bakar berkata sudah tiba masanya penyemakan semula tuntutan kenaikan caj itu kerana kali terakhir perkara ini dilaksanakan adalah pada tahun 2006.
Datuk Dr Azman menjadi moderator di persidangan itu.
“Menteri Kesihatan kemudian akan menyerahkan cadangan semakan caj pengamal am itu ke Jabatan Peguam Negara dan, jika semuanya berjalan lancar, ia akan diserahkan kepada Kabinet untuk disahkan.
“Lagi rumit penyakit dihidapi seseorang itu, lebih tinggi caj konsultasi akan dikenakan. Harga siling bagi caj konsultasi adalah RM125”
“Dan, hari ini, kami menghimpunkan semua pihak berkepentingan, bukan sahaja doktor yang mengusahakan klinik sendiri tetapi juga badan bukan kerajaan dan kumpulan pengguna. Ini untuk memastikan semakan caj pengamal am ini dilakukan secara adil”
Datuk Dr Azman tidak menolak kemungkinan caj baharu konsultasi itu akan dilaksanakan pada awal tahun depan. Tambahnya lagi, kementerian juga telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai kumpulan berhubung perkara itu.
Sumber: Bernama